RSS

Thursday, July 7, 2011

Kisah Cinta Seorang Wanita Kepada Allah

Wanita adalah hiasan dunia dan sebaik-baik wanita di muka bumi Allah yang agung ini adalah wanita yang solehah. Tiada lelaki yang tidak mahukan seorang wanita untuk dijadikan teman hidupnya memiliki ciri-ciri wanita solehah. Korang macam mana? Okey Lepas baca habis entri ini, sila jawab persoalan aku tu ye!

Entri ini ditulis bertujuan untuk berkongsi sebuah kisah pada zaman dahulu tentang kasih dan cintanya seorang wanita ini kepada Allah S.W.T. Mari sama-sama kita baca dan ambil iktibar dari kisah yang membuatkan mata dan hati aku menangis.

Dalam sebuah riwayat mengatakan bahawa seorang lelaki munafik yang sangat kedekut telah bersumpah kepada isterinya supaya tidak menyedekahkan sesuatu apa pun kepada orang lain. Maka suatu hari datang seorang peminta sedekah ke rumah wanita itu ketika suaminya tiada di rumah. Peminta sedekah itu berkata, “Wahai penghuni rumah, tolonglah berikan aku sesuatu”.

Sebaik sahaja isteri orang munafik itu mendengar permintaan peminta sedekah, lalu diberinya 3 keping roti. Lalu peminta sedekah itu berlalu dan mengucapkan terima kasih. Dalam perjalanannya, dia bertemu dengan lelaki munafik tersebut lalu lelaki munafik itu bertanya kepada peminta sedekah, “Di manakah kamu mendapat roti ini?” Maka pengemis menjawab, “Orang di rumah sana memberiku”.

Orang munafik mengetahui bahawa rumah yang dimaksudkan adalah rumahnya, lalu dia pulang dengan perasaan marah dan berkata kepada isterinya, “Bukankah aku telah melarang kamu dari memberikan sesuatu apa pun kepada sesiapa?” Isterinya menjawab, “Aku berikan roti kepada pengemis itu kerana Allah S.W.T”.

Apabila orang munafik itu mendengar kata-kata isterinya, maka dia menjadi sangat marah lalu menyalakan dapur rotinya sehingga panas. Kemudian dia berkata kepada isterinya, “Berdirilah dan campakkanlah diri kamu ke dalam api ini kerana Allah”.

Isterinya akur dengan kehendak suaminya lalu memakai perhiasannya dan berhias sehingga cantik. Orang munafik itu berkata, “Kamu jangan pakai perhiasan-perhiasan ini”. Isterinya menjawab, “Seorang kekasih akan memakai perhiasan untuk kekasihnya, sedangkan aku adalah orang yang sedia berkunjung pada kekasihku (Allah)”.

Setelah itu, wanita tersebut terus terjun ke dalam dapur tempat membuat roti yang panas lalu orang munafik tesebut menutup tudung dapur dan beredar dari situ. Setelah tiga hari, orang munafik itu pun membuka tudung dapur dan dia terperanjat apabila melihat isterinya itu masih sihat tanpa terdapat apa-apa kecacatan pada dirinya berkat kuasa Allah.

Kemudian terdengarlah orang munafik itu suara dari langit yang berkata, “Kamu tidak mengerti bahawa sesungguhnya api tidak akan membakar kekasih-kekasih Kami”.

—————————————

Dari kisah ini apa yang dapat disampaikan adalah mereka yang benar-benar mencintai Allah dan agamaNya akan terselamat dari siksaan api di dunia mahupun api neraka di akhirat kelak. Jadi mari sama-sama kita muhasabah diri di manakah kedudukan kita di sisi Allah kini? Apakah kita ada perasaan seperti wanita tersebut yang begitu cintakan Allah? Sama-sama kita renungkan.

Ramai Wanita Bertanya Dan Seorang Lelaki Menjawab

Kaum feminin cakap “susah jadi wanita”, mereka telah digoda dan diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsunya sendiri, seperti yang kita lihat dialog dibawah, bagaikan mempersoalkan ketentuan Allah terhadap mereka. Dengan kata lain yang agak kasar, Allah berat sebelah pada kaum wanita.

“Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”
“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”
“Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”
“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”
“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”
“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”
“Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”.

Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak samarata antara gender, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan. Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!”

Tunggu..! Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Mujur ada seorang lelaki yang bukanlah seorang ustaz namun amat yakin bahawa Allah itu Maha Adil. Dia tidak mampu menuturkan sabda Rasulullah s.a.w dan petikan dari ayat Al-Quran, namun dengan keimanan dan ilmu sedikit yang dia ada diolah untuk menjawab soalan-soalan melampau itu.

“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan dirumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi dikalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut? Jangankan saya, tapi tok imam akan tercabut serbannya jika tengok awak hanya pakai seluar pendek!”
“Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun di sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”
“Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalo isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”
“Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan, malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua!”
“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain didunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”
“Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”
“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya,dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”
“Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?”
Lantas, wanita-wanita tadi menangis dan berkata;
“MasyaAllah, demikian sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki!”

Demikianlah dialog wanita-wanita yang curiga itu dengan seorang lelaki biasa namun beriman. Ingat firmanNya, bahawa mereka tidak akan berhenti melakukan segala upaya, sampai kita ikut dan tunduk kepada cara-cara dan peraturan yang dipromosikan dan diperjuangkan itu.

Sebagai Zat yang Maha Pencipta, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukumNya malah peraturanNya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.

Wahai lelaki, jagalah isterimu kerana dia perhiasan, pakaian dan ladangmu, sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan agar kaum lelaki berbuat baik selalu (lembut) terhadap isteri anda sekalian.

Adalah sabda Rasulullah s.a.w bahawa ketika lelaki memiliki dua atau lebih anak perempuan, mampu menjaga dan menjadikannya muslimah yang baik, maka syurga adalah jaminannya.
Berbahagialah wahai para muslimah. Tunaikan dan menegakkan agamamu, nescaya syurga menanti!

Tuesday, July 5, 2011

HATI SEORANG ISTERI

“Hai sekalian manusia, takutlah kamu kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, dan menjadikan isteri daripadanya, dan daripada keduanya, berkembang biak lelaki, dan perempuan dengan banyaknya…” An-Nisa:1

Hanan tahu. Perempuan dicipta untuk lelaki, dan begitulah sebaliknya. Hawa dijadikan Allah sebagai pengisi kekosongan Adam. Allah tahu. Allah maha tahu. Adam tidak betah keseorangan. Lalu terciptalah Hawa. Hawalah penyeri. Hawalah penghibur. Hawa jua racun berbisa. Bila mana iblis gagal menggoda Adam, lalu diganggunya Siti Hawa.

Pujuk rayu Hawa akhirnya menundukkan ketaatan Adam terhadap Yang Esa. Lantas dicampakkan ke dunia. Dunia yang penuh kekejaman. Penuh noda. Penuh sengsara. Itulah wanita. Kuasa wanita bukan terletak kepada kekuatannya. Adam jatuh kerana Siti Hawa. Habil, dan Qabil berbunuhan kerana hawa. Bill Clinton menggemparkan dunia ekoran dakwaan si hawa. Pemimpin agung negara juga tersungkur kerana seorang wanita.

Hanan mengenali Muhammad sejak berada di kampus. Siapa tidak kenal lelaki itu? Bukan sahaja tampan, malahan mempunyai nilai peribadi yang tinggi. Ya… Muhammad memiliki peribadi yang boleh dibanggakan. Matanya yang tajam bisa menggegarkan jantung si gadis. Rambutnya lurus, kopiah di kepala. Mukanya bersih disinari cahaya. Bibirnya merah, sebagai tanda tidak merokok. Muhammad pastinya belum pernah menyentuh Dunhill, Malboro… Tetapi, bukan itu alasannya. Bukan itu puncanya. Ilmu… Ilmunya penuh di dada. Ilmu itu di hujung jarinya.

Rasulullah pernah bersabda, “Jika kamu mahukan dunia, dengan ilmu. Jika kamu mahukan akhirat, dengan ilmu. Jika kamu mahu dunia, dan akhirat, dengan ilmu.”

“Umi… Abu ingat abi.”

“Abi sibuk. Nanti malam, abi pulang. Abu dah solat? Pergi solat dulu. Kan abi pesan, solat mesti di awal waktu.”

Abu Bakar… Putera sulung Hanan bersama Muhammad. Sebagai tanda cinta berpanjangan. Abu Bakar As-Siddiq… Sahabat akrab Rasulullah. Itulah impian Hanan. Setelah sah menjadi suri Muhammad, Hanan bercita-cita melahirkan zuriat sehebat Saidina Abu Bakar, seberani Saidina Umar, sesabar Saidina Uthman, dan sekental Saidina Ali, menantu kesayangan Rasulullah.

Hanan ingin benar memiliki sebuah keluarga Muslim yang berpegang teguh dengan syariat. Kini, setelah hampir sepuluh tahun melayari bahtera rumahtangga, pasangan itu telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Putera sulung diberi nama Abu Bakar, manakala si puteri dipanggil Fatimah Az-Zahrah.

Fatimah… Begitu comel wajah itu. Masih Hanan ingat. Sewaktu Fatimah dilahirkan, Muhammad tiada di sisi. Si suami begitu sibuk dengan kerjayanya. Paginya menjadi penganalisis komputer. Malamnya menggegarkan pentas ceramah. Pendakwah bebas… Perginya ke mana-mana. Hanan bangga memiliki suami yang giat berjuang di jalanNya. Hanan terharu. Tetapi, naluri wanitanya tetap merasai kesedihan bila mana Muhammad tiada di sisi tika dia mahu melahirkan. Andai kata Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia mahu memejamkan mati di sisi suami. Di pangkuan suami tercinta.

” Ayang nak letak nama apa?”

” Suka hati abang la. Asal abang suka, ayang tak bantah.”

” Sumayyah?”

” Abang suka?”

” Entahlah. Apa kata… Fatimah Az-Zahrah.”

Muhammad mengucup dahi isteri tercinta. Muhammad bahagia bersama Hanan. Muhammad bersyukur kerana Hanan kini menjadi miliknya. Dia tidak salah pilih. Hanan begitu memahami. Hanan tidak pernah merungut dengan segala kekurangan. Hanan sentiasa patuh, dan redha. Muhammad tahu, Hanan kurang setuju dengan permintaanya agar dia berhenti bekerja setelah kelahiran Abu. Tetapi, sebagai isteri yang taat, Hanan akur. Meskipun bertentangan dengan cita-cita, dan azamnya, Hanan tetap menerima. Hanan mahu menjadi setaat Siti Muthiah. Itu Muhammad tahu.

Saidatina Fatimah agak kecewa apabila mengetahui bahawa ada wanita lain yang memasuki syurga mendahuluinya. Siapakah dia? Apakah keistimewaannya sehingga disebut namanya oleh Rasulullah? Dialah Siti Muthiah. Wanita agung mentaati suami. Dirinya untuk suami. Kebahagiaan, dan kegembiraan dicurahkan buat suami.

” Wahai Muthiah, apakah perlunya peralatan itu?” Tanya Fatimah tatkala melihat Siti Muthiah memegang segelas air, sehelai kain, dan sebatang rotan di sampingnya.

” Wahai puteri Rasulullah, kain ini kugunakan untuk mengelap peluh suamiku yang penat bekerja. Air ini kuhidangkan buatnya. Kutahu, dia tentu kehausan setelah lelah membanting tulang mencari rezeki buatku, dan anak-anak.”

” Bagaimana pula dengan rotan?”

” Jika layananku tidak memuaskan hatinya. Aku rela dipukulnya.”

” Adakah dia sering memukulmu?”

” Tidak. Bahkan dia hanya memelukku di sisinya.”

” Kamu memang layak masuk syurga,” bisik hati Fatimah.

Hanan ingin menjadi sehebat Siti Muthiah. Taat, dan patuh kepada suami. Menjadi penawar buat suami. Melahirkan permata hati untuk suami. Paling penting, melahirkan pejuang Islam masa depan. Takbir!! Hanan terkejut dari lamunan. Dia terkenang kisah lampau. Antara dia, dan Muhammad. Antara cita-cita, cinta, dan harapan. Konflik berlegar-legar. Cita-cita membantu ibu di desa. Meringankan beban ibu yang melahirkan. Membalas jasa bapa yang membesarkan. Hanan tahu perit ibu mengandungkan. Sakit ibu melahirkan. Penat ibu membesarkan.

Kakak,Dulu, kakak cakap, bila kakak dah kerja, kakak nak bawa abang, Amir, Bobo pergi melancong. Nak bawa kami naik kapal terbang. Nak hantar ibu, dan ayah ke Mekah. Kenapa tak boleh sekarang? Kakak tak ada duit ye? Kakak tak cukup duit? Salam sayang dari kami di kampung. Abang.

Abang,Bukan kakak lupa. Kakak ingat janji kakak. Tapi, apakan daya. Kakak tak punya sumber. Belanja bulanan, boleh ditanggung. Janji kakak, agak sukar dikotakan. Sayang selalu. Kakak.

Konflik terus bermain di kepala. Antara ketaatan, dan cita-cita. Antara harapan, dan cinta. Hati Hanan menjerit. Dia ingin mengotakan janjinya. Ingin meringankan beban ibunya. Hanan merancang sebegitu lama. Hanan fikir, jika Muhammad membenarkan dia bekerja tetap, pastinya dia dapat menepati kata-katanya. Membantu keluarganya. Mengapalah Muhammad tidak pernah mahu mengerti?

” Ayang… Minggu depan abang kena bagi ceramah kat Kedah. Mungkin dalam dua hari.”

” Pergilah bang. Orang dah jemput.”

” Macam mana anak-anak?”

” Abu… Macam biasalah. Sikit-sikit, abinya. Fatimah pula, tiada masalah.”

” Ayang… Penganjur tidak dapat sponsor ceramah abang. Minggu ni, kita jimat sikit ye. Duit ibu dah hantar?”

” Emmm….”

Abang, bukan harta yang dipinta. Bukan emas yang dirayu. Hanan ingin selalu di sampingmu.Hanan serba salah. Bukan dia tidak tahu dengan kerja suaminya. Sebelah pagi, Muhammad bergegas ke pejabat. malamnya, jika ada jemputan, Muhammad perlu berceramah. Kereta Wira itu sahajalah yang membawanya ke mana-mana. Kadang-kadang, Muhammad tidur beralaskan kusyen. Kadang-kadang Muhammad tidak tidur langsung. Hanan kasihan melihat suaminya. Meskipun Muhammad tidak pernah meluahkannya, Hanan tetap mahu melihat keselesaan suaminya. Ah!! Iblis begitu kuat menghasut. Sedangkan Nabi junjungan hidup sederhana. Sedangkan sahabat terdahulu lebih hebat dugaannya. Persetankan segala hasutan syaitan laknatullah. Dia perlu sentiasa redha, dan bersyukur dengan segala kurniaan Tuhan.

Allah pernah berfirman, “Ketika Tuhan memberitahu: Dan jika kamu berterima kasih, nescaya Kutambah nikmat yang ada padamu. Tetapi, jika kamu kafir, sesungguhnya seksaanKu amat keras.” Ibrahim:7

Ya… Hanan perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Seperti biasa, Hanan menjalankan kewajiban seorang ibu, dan isteri sebaiknya. Mengasuh mengikut pesan suami. Tidak dimanjakan, dan tidak pula terlalu keras. Hanan begitu bahagia. Alangkah indahnya, jika kelak, dia dijemput Tuhan, tika perit melahirkan zuriat. Bukan sengaja mahu meninggalkan anak-anak tanpa ibu. Suami tanpa isteri. Tetapi, Hanan mahu mati sebagai syuhadah. Bak kata seorang teman, ” Hiduplah sebagai ulama’, matilah sebagai syuhadah.” Hanan mahu mati dengan redha suami. Bukan tangisan yang mengiringi pemergiannya. Kadang-kadang Hanan cemburu. Cemburu memikirkan. Pastinya Muhammad akan menikah lagi. Anak-anaknya bakal punya umi baru. Akan ada orang lain di hati Muhammad. Memikirkan Ainur Mardhiah pun menggelisahkannya. Apatah lagi wanita di dunia.

” Kakak… Nenek sakit tenat. Baliklah. Ibu suruh kakak balik.”

” Abang Muhammad tiada. Pergi ceramah di Kedah. Macam mana kakak nak keluar rumah?”

” Kakak telefonlah dia. Nenek dah nazak. Kakak kena balik.”

” Nanti kakak telefon abang Muhammad.”

Telefon Muhammad? Mana mungkin Hanan mengganggu Muhammad waktu itu. Hatinya meronta untuk pulang. Tapi bagaimana? Hanan tahu, suaminya tidak akan marah.

Bukan benda kecil. Hidup mati manusia. Tapi, Hanan tidak mahu menghalang gerak kerja Muhammad. Jika dikhabarkan berita ini, pasti Muhammad gelisah. Hanan yakin, Muhammad pasti tidak dapat pulang malam ini. Hendak pulang sendiri? Hanan mana ada fulus? Kalau untuk dirinya saja, mungkin mencukupi. Tetapi, bagaimana dengan Abu, dan Fatimah? Tinggalkan di rumah? Tidak sama sekali. Apa-apa boleh berlaku. Budak-budak masih kecil. Tidak tahu apa-apa. Tidak mengerti apa-apa. Hendak beritahu ibu duit tidak mencukupi? Hanan tidak sanggup. Nanti, ibu pasti menjadi seperti inspektor polis yang giat menyoal-siasat banduan. Dari mana datangnya duit yang dikirimkan selama ini? Mana mungkin Hanan mampu mengirimkan wang jika duitnya tiada? Ibu tidak tahu. Dan ibu tidak perlu tahu. ibu juga tidak boleh ambil tahu. Hanan banyak berjimat. Ditahan keperluannya. Dipenuhi kehendak ibu bapanya. Sudahlah dia gagal menghantar mereka ke Mekah. Biarlah dia berkorban sedikit. Hanya sedikit…

” Kakak… Nenek dah meninggal.”

” Innalillahiwainnailahirajiun.”

Hanan senyum sendiri. Menangis dalam senyuman.

Nenek tua itu telah sampai ajalnya. Telah tiba waktunya. Rambutnya putih. Tiada yang hitam. Mukanya cengkung. Tangannya berkedut. Hanan sayang orang tua itu. Dialah yang mengasuhnya selama ini. Mendidiknya menjadi orang yang berguna. Ibu juga mendidik. Ayah juga mengajar. Tetapi, keringat ibu, dan ayah lebih diperlukan untuk mencari sesuap nasi. Akhirnya, nenek pergi jua. Meskipun Hanan tidak menanam cita-cita agar janda kematian suami itu mati di sisinya. Alangkah indahnya jika dia ada bersama tika neneknya sedang nazak menunggu roh keluar dari jasad.

” DaripadaNya kita datang. KepadaNya kita kan kembali.”

” Kak Hanan.”

” Ya saya. Siapa di sana?”

” Saya Nona, anak didik ustaz Muhammad.”

” Ooo… Ustaz tiada. Dia belum pulang. Nona nak pesan apa-apa?”

” Em… Akak… Saya harap akak tidak marah. Tapi, saya dah tak mampu,” talian sunyi sebentar.

“Akak… Saya mencintai ustaz Muhammad. Saya tidak mampu menipu diri saya sendiri. Saya begitu sayang kepadanya, dan saya sanggup menjadi yang kedua.”

” Ustaz tahu hal ni?” Hanan cuba menahan getar di hatinya.

” Mungkin tahu. Tapi, buat-buat tak tahu. Saya terseksa.” Diam lagi…

” Saya yakin ustaz akan mendengar nasihat akak. Kak… Pinanglah dia untuk saya.”

Hampir terjatuh gelas putih itu. Hanan tidak sanggup. Dia tidak sanggup bermadu. Tidak rela dimadu. Apatah lagi berkongsi suami. Hanan tidak sekuat Saidatina Aisyah. Aisyah juga cemburukan isteri-isteri Rasulullah. Bermadu tak semanis yang disangka. Mungkin lebih pahit daripada hempadu. Hanan tahu, lelaki yang mampu layak bernikah lebih daripada satu. Malahan dua… Tiga… Empat… Hanan yakin Muhammad mampu mengemudi dua buah bahtera. Tapi…

Hanan tidak cukup kuat untuk itu. Sudah banyak dia berkorban. Perlukah dia berkorban lagi? Dia berkorban kerana ketaatan. Kerana patuh terhadap suami. Perlukah dia terus memendam rasa lagi? Menangis!! Hanan tidak akan menangis kerana dugaan, dan ujian. Saidina Ali pernah menangis kerana dirasanya Allah tidak memandangnya. Mengapa? Kerana dirasakan tiada ujian diturunkan buatnya. Ujian!! Sebagai tanda kasih Tuhan. Sama ada ingin mengangkat martabat hambaNya itu, ataupun sebagai kafarah dosa yang dilakukan. Dua-dua sama. Sebagai tanda cinta Ilahi.

Allah pernah berfirman, “Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya,” Al-Baqarah:286.

Hanan juga tahu firman Tuhan, ” Sesungguhnya Allah bersama orang yang bersabar.” Tapi…

Macam mana dengan Nona? Nona mencintai suaminya. Mengapakah Muhammad yang dipilih? Bukan teruna lain di muka bumi Allah ini? Adakah Muhammad turut mempunyai perasaan yang sama? Atau, adakah mereka sebenarnya saling mencintai? Oleh sebab tidak sanggup berterus-terang, Muhammad menyuruh Nona meminta kebenaran. Nanti… Abu, dan Fatimah akan punya dua umi. Tidak sanggup Hanan memikirkannya. Tidak sanggup dia melihat kemesraan Nona, dan Muhammad. Berkahwinlah tapi jangan berdampingan di hadapannya. Bermesralah tapi usah mempamerkan kemesraan itu. Hanan yakin. Kala itu, dia pasti akan menangis. Kalau dulu, Hanan menangis dalam senyuman. Tapi kini, tangisannya berbunyi. Tangisannya meggugurkan air mata jatuh ke bumi.

Hanan teringat pesan Tok Guru. Poligami tidak salah. Malah meringankan beban wanita yang terseksa. Asal kita hayati, fahami konsepnya. Beliau juga berpesan kepada para suami agar tidak menambah yang sedia ada. Tetapi, jika gelora hati tidak mampu ditahan, nikahlah. Kahwinlah satu lagi. Tafaddhal masykura. Banyak kelebihan sebenarnya isteri yang membenarkan suaminya berkahwin lagi. Pertama, darjatnya pasti diangkat Allah. Kedua, membolehkan si isteri mendekatkan diri kepada Tuhan. Benar. Bila suami bersama isteri kedua, bolehlah isteri pertama melakukan ibadat sunat. Bolehlah dia qiam sepertiga malam. Hanan tahu semua itu. Pasti dia dapat menghampiri Tuhannya. Mengadu, merintih kepadaNya. Tapi…Kan ketaatan itu juga satu ibadah?

“Kenapa lain macam saja ayang sekarang? Ada masalah ke?” Muhammad mula bersuara bila mana dia menyedari perubahan yang berlaku kepada isterinya. Senyum Hanan lain dari biasa.

“Tak adalah bang. Ayang letih saja,” kata Hanan menahan sebak di dada.

“Bukan sehari abang kenal ayang. Dah bertahun kita bersama. Kenapa ni? Ayang ada masalah? Atau baby ni merungsingkan ayang?” Sangkal Muhammad lantas mengusap perut isterinya yang mengandung tujuh bulan itu. Hanan… Abang mencintaimu. Muhammad memeluk Hanan, dan mendudukkan dia di sisinya.

“Ceritakanlah… Ayang bukan sahaja isteri abang. Tapi sahabat, dan teman bagi abang. Tiada rahsia antara kita.”

” Abang…” Hanan makin sebak.

Tiba-tiba…

” Umii… Tengok abang ni. Dia kacau Imah.”

” Alaa. Bukan Abu nak kacau. Abu nak main saja.”

” Abu main kasar, bukan nak main elok-elok. Cakap kat abi.”

Tak sanggup Hanan membuka suara. Mujur putera puterinya buat hal. Kalau tidak, tak tahu apa yang akan berlaku. Pasti dia akan teresak-esak di pangkuan Muhammad. Nona! Mengapakah kamu hadir dalam hidupku? Kenapa Muhammad yang kau pilih? Kenapa dia yang kau cinta? Bagaimana jika Muhammad bersetuju? Tak sanggup Hanan menerima realiti itu. Satu mimpi ngeri buatnya. Jika Muhammad menolak, Hanan pasti menangis suka. Tapi, jika Muhammad menerima? Hanan menangis juga. Dia menangis kedukaan. Muhammad pasti memujuk tapi hatimya telah mati. Cerai? Ya. Perkara halal yang dibenci Allah. Hanan tidak pernah terfikir untuk minta cerai. Hanya Muhammad yang diharapkannya.

Sudah sebulan peristiwa itu berlaku. Hanan melaksanakan tanggungjawab seorang isteri seperti lazimnya. Diasuh anak-anak sebaiknya. Dilayan suami seikhlasnya. Tidak pernah Hanan bermasam muka. Apatah lagi berwajah sugul. Hanan lupa. Dia tidak boleh menipu Muhammad. Suami itu menyedari perubahan Hanan. Ada benda yang cuba disembunyikannya. Senyum Hanan manis tapi tidak semanis dahulu. Segalanya berubah. Muhammad amat mencintai Hanan, dan dia tidak mahu perubahan ini. Apa dah jadi? Muhammad gelisah tak tentu. Kerjanya tanpa kosentrasi. Senyuman Hanan yang lain itu sudah cukup meresahkan Muhammad. Sedarkah Hanan? Lebih parah lagi bila Muhammad tidak dapat melakukan kerja dakwah seeloknya. Itulah kuasa wanita. Yang akhirnya menyungkurkan seorang lelaki. Bangkitlah Muhammad. Sesungguhnya…

“Katakalah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, serta tempat kediaman yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, rasulNya, dan jihad ke jalan Allah, maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya…” At-Taubah : 24.

” Abang…” Hanan bersuara satu malam.

” Yang…”

” Baru-baru ni, pelajar abang telefon.”

” Ya.”

” Nona namanya,” Hanan cuba melihat reaksi Muhammad tapi tiada perubahan pada wajah itu.

” Ya.”

” Katanya…” Diam seketika.

” Katanya dia mencintai abang. Dia mahu mengahwini abang.”

” Jadi?” Begitu tenang lelaki ini.

” Kahwinilah dia,” lantas Hanan menangis teresak-esak. Dia tidak mahu menangis tapi dia tidak mampu menahan sebak di dada. Disembamkan mukanya di riba suami. Habis basah pelikat itu. Hanan menangis, dan terus menangis. Tidak sanggup untuk menatap wajah suaminya.

” Sebab inikah kamu berubah isteriku?” Bisik hati Muhammad. Diangkat muka Hanan. Ditenung mata yang berair itu. Hanan menundukkan muka lantas menyembamkan wajahnya di ribaan suami. Muhammad mengangkat kembali wajah itu. Ditenung lagi mata itu. Tenungan yang sememangnya tajam semakin tajam jadinya.

” Kalau ayang suruh abang kahwin, Kenapa menangis?” Diam…

” Ayang tak sanggup?” Diam lagi…

” Kalau tak sanggup, Kenapa suruh abang kahwin?” Lidah Hanan kelu.

” Ayang. Tiada orang lain di hati abang. Ayang tiada celanya. Buat apa abang nak cari lain? Isteri abang hanya seorang. Nazihatul Hanan namanya. Terima kasih kerana bersama abang selama ini. Melahirkan keturunan abang.

Lagi seminggu Hanan akan melahirkan bayi yang ketiga. Kalau muzakkar, namanya Umar. Kalau muannas, pastinya Siti Muthiah. Muhammad tidak sabar menanti saat itu. Saat lahirnya marjan, sebagai tanda kasih berpanjangan. Hanan terlalu banyak berkorban. Begitu teguh di belakangnya. Tika dia turun berjuang. Kasihan Muhammad melihat Hanan. Lain pula dia kali ini. Benar-benar tidak bermaya. Mukanya pucat. Langkahnya longlai. Mujur senyuman itu menghilangkan kecatatan yang ada.

” Abang… Takut rasanya kali ini.”

” Kenapa? Kan abang ada.”

” Entah bang. Melahirkan ni umpama nyawa di hujung tanduk.”

” InsyaAllah, segalanya akan selamat.”

” Abang…”

” Ya.”

” Kalau ada apa-apa yang berlaku pada ayang…”

” Tak akan ada apa-apa yang berlaku.”

” Kalau-kalau…”

” Semua akan selamat,” pintas Muhammad.

” Kalau-kalaulah… Abang nikahilah Nona sebagai pengganti ayang.”

Inilah wanita. Sekali tergores, sekali terusik, payah nak sembuh. Prasangka tidak pernah luput. Muhammad mengerti. Prasangka itu tandanya sayang. Tapi, usahlah begitu. Benarlah kata seorang motivator. Wanita itu mudah tersentuh. Sensitif benar hatinya. Emosinya tidak dapat dibendung. Sentiasa mengikutinya. Menjadi pengawal peribadi yang setia. Hanan juga tidak terkecuali. Percayalah Hanan. Cinta abang untuk Hanan seorang.

“Encik Muhammad… Nampaknya pihak kami hanya punya satu jalan. Sama ada ingin menyelamatkan si bayi, atau si ibu.”

“Selamatkan keduanya,” Muhammad seolah memberi arahan.

Muhammad memegang erat isterinya. Muka Hanan pucat lesi. Diusapnya rambut hitam Hanan. Diciumnya pipi itu. Muhammad ingin menangis tetapi tidak sanggup membiarkan air matanya gugur ke bumi. Bukan kerana ego. Hanan sendiri tidak menangis. Masakan dia boleh menangis? Darah begitu banyak tetapi tangisan bayi masih belum kedengaran. Hanan sedaya upaya melawan sakitnya. Yang penting, anak Muhammad itu lahir ke dunia. Nyawanya nombor dua. Nafasnya kian sesak. Tiba-tiba… Kedengaran bayi mendendangkan lagunya. Makin lama, makin rancak bunyinya. Serentak dengan itu, Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

TAK MASUK SYURGA WALAU BERIBADAT 500 TAHUN

Dari Jabir r.a, berkata bahawa Rasulullah S.A.W telah memberitahu kami bahawa Malaikat Jibrail telah memberitahu Rasulullah S.A.W katanya: Wahai Muhammad demi Allah yang mengutusmu sebagai Nabi yang besar, sesungguhnya ada seorang hamba Allah yang beribadat selama 500 tahun di atas sebuah bukit yang lebar, panjangnya bukit itu 30 hasta kali 30 hasta dan di sekelilingnya ialah air laut yang seluas 4,000 farsakh dari tiap penjuru.

Dan di situ Allah S.W.T mengeluarkan air selebar satu jari dan dari bawah bukit serta Allah S.W.T juga telah menghidupkan sepohon pokok delima yang setiap hari mengeluarkan sebiji buah delima. Apabila tiba waktu petang hamba Allah itu pun memetik buah delima itu dan memakannya. Setelah itu ia pun sembahyang. Dalam sembahyang ia telah meminta kepada Allah S.W.T supaya mematikannya ketika ia dalam sujud, supaya badannya tidak disentuh oleh bumi atau apa-apa sahaja sehingga tibanya hari berbangkit. Maka Allah S.W.T pun menerima permintaannya.

Berkatalah malaikat lagi: Oleh itu setiap kali kami naik turun dari langit kami melihatnya sedang sujud. Kami mendapat dalam ilmu bahawa dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah S.W.T. Lalu Allah S.W.T menyuruh malaikat, “Masukkanlah hambaku itu ke dalam syurga dengan limpah rahmatku”. Maka orang itu berkata: “Dengan disebabkan amalku?” Maka Allah S.W.T menyuruh malaikat menghitung semua amalnya dengan nikmat yang Allah S.W.T berikan. Apabila penghitungan dibuat maka amal yang telah dibuat hamba itu selama 500 tahun telah habis dihitung hanya dengan sebelah mata sahaja, yakni nikmat penglihatan yang Allah S.W.T berikan padanya, sedangkan nikmat-nikmat lain belum dikira.

Maka Allah S.W.T berfirman: “Masukkanlah dia ke ke dalam neraka”. Apabila dia ditarik ke neraka maka ia pun berkata: “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmatMu”. Lalu Allah S.W.T berfirman kepada malaikat: “Bawakan dia ke mari”. Kemudian Allah S.W.T bertanya kepada hambanya itu: “Siapakah yang menjadikan kamu daripada tidak ada?”. Lalu hamba itu menjawab: “Engkau ya Allah”. Kemudian Allah S.W.T bertanya lagi: “Apakah itu kerana amalmu atau rahmatKu?” Jawab hamba itu: “Ya Allah, dengan rahmatMu”. Allah S.W.T bertanya lagi: “Siapakah yang memberikan kekuatan sehingga 500 tahun kamu beribadat?”. Jawab hamba itu: ” Engkau ya Allah”. Allah S.W.T bertanya lagi: “Siapakah yang menempatkan kamu di atas bukit yang ditengah-tengah lautan. Dan siapakah yang mengeluarkan air tawar yang bersih dari tengah-tengah lautan yang airnya sangat masin. Serta siapakah yang menumbuhkan sepohon pokok delima yang mengeluarkan sebiji buah delima setiap hari, padahal buah itu hanya berbuah setahun sekali, lalu kamu meminta supaya Aku mematikan kamu dalam keadaan sujud, jadi siapakah yang berbuat semua itu?”

Lalu orang itu berkata: “Ya Allah, ya Tuhanku engkaulah yang melakukannya”. Allah S.W.T berfirman: “Maka semua itu adalah dengan rahmatKu dan kini Aku masukkan kamu ke dalam syurga juga adalah dengan rahmatKu”. Maka malaikat Jibrail berkata: “Segala sesuatu itu terjadi hanya dengan rahmat Allah S.W.T”.

Amal yang dibuat oleh seseorang itu tidak akan dapat menyamai walaupun setitik debu sekalipun dengan nikmat yang Allah S.W.T berikat kepada hambanya. Oleh itu janganlah mengharapkan amal kita itu akan dapat memasukkan kita ke dalam syurga Allah S.W.T sebaliknya mohonlah dengan rahmatNya. Sebab hanya dengan rahmat Allah S.W.T sahajalah seseorang itu dapat memasuki syurgaNya.

Apabila kita memohon doa kepada Allah S.W.T supaya kita dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatNya, maka mintalah supaya Allah S.W.T memasukkan kita dengan rahmatNya ke dalam syurga Firdaus.

BIDADARI SYURGA MENURUT AL-QURAN DAN HADITH

Bidadari syurga, makhluk yang telah sangat indah yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hambaNya yang soleh, yang berbuat kebaikan, yang layak untuk memasuki syurga. Diceritakan bahawa bidadari-bidadari syurga ini terlalu rindukan suaminya di dunia dan teringin melihat suaminya di dunia, namun tidak diberi izin oleh malaikat penjaga syurga. Suatu hari mereka meminta izin dari Allah untuk menjenguk ke bumi bagi melihat suami mereka dan telah diizinkan. Bidadari-bidadari ini dapat mengenal siapa suami mereka kerana di dada mereka telah tertulis nama suami yang mereka rindui.

Apabila melihat ke bumi, mereka terlihatlah bidadari-bidadari akan isteri bagi suami mereka di dunia tidak taat serta berbuat derhaka kepada suami, lalu bidadari syurga itu berkata, “Janganlah kamu menyakitinya, semoga Allah memerangimu, sesungguhnya dia hanyalah tamu di sisimu, sebentar lagi dia akan datang kepada kami dan meninggalkanmu.” Di dalam Al-Quran dan hadith banyak sekali dijelaskan ataupun digambarkan tentang susuk bidadari yang bertempat di syurga dan bersedia melayani para ahli Jannah.

AL-QURAN

Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah. (Al-Imran:15)

Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. (Ad-Dukhan:54)

Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya. (Al-Waqi’ah:22)

Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh). (Al-Waqi’ah:35-36)

Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya. (Sad:52)

Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin; maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan. (Ar-Rahman:56-58)

Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya. (As-Saffat:48)

Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (bidadari-bidadari) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya. (Ar-Rahman:70)

Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing; maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin. (Ar-Rahman:72-74)

HADITH

Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika salah seorang bidadari menampakkan wajahnya, nescaya akan menerangi antara langit dan bumi.” (H.R. Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Azza wa Jalla berfirman, “Aku siapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh fikiran.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Jibril mengatakan kepadaku bahawa ketika orang mukmin masuk syurga, akan disambut oleh bidadari dengan pelukan hangat dan erat. Dengan jari dan telapak tangan manakah akan dibandingkan kelembutan dan keindahannya, kalau lambaiannya akan memadamkan sinar matahari dan bulan?” (H.R. Thabrani)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sekiranya salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang harum semerbak. Sungguh penutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika sehelai saja dari rambut bidadari jatuh ke bumi, nescaya wanginya akan meliputi seluruh timur dan barat.” (H.R. Ath-Thabrani)

Ibnul Qayyim memberikan penjelasannya mengenai hal ini: “Mengenai rambut bidadari ada dua sifat kontradiktif yang membuat kecantikannya semakin nyata dan memikat. Pekatnya hitam rambut terpadu dengan putihnya wajah dan mata yang bersinar cemerlang. Sungguh kontras sekali, namun disitulah letak kecantikannya.” (Kitab Hadzil Arwah:316)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Rombongan yang pertama masuk syurga adalah dengan wajah bercahaya bak rembulan di malam purnama. Rombongan berikutnya adalah dengan wajah bercahaya seperti bintang-bintang yang berkilau di langit. Masing-masing orang di antara mereka mempunyai dua isteri, dimana sumsum tulang betisnya kelihatan dari balik dagingnya. Di dalam syurga nanti tidak ada orang bujang.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Penghuni syurga boleh mencermin melihat wajahnya di pipi bidadari yang mulus itu.” (H.R. Al-Baihaqi dan Al-Hakim)

Dari Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seandainya bidadari meludah pada tujuh lautan, nescaya air laut akan tawar kerana keindahan dan kemanisan mulutnya, kerana bidadari terbuat dari za’faran.”

Dalam sebuah riwayat oleh Hafidz Abu Bakar Al-Ajri, dari Imran bin Hasyim dan Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda: “Mahligai-mahligai (istana) di syurga itu tercipta dari Lu’lu, dan pada tiap-tiap mahligai itu ada tujuh puluh kampung dari Yaqut yang merah dan pada tiap-tiap kampung ada tujuh puluh rumah daripada Zamrud yang hijau; dan tiap-tiap rumah ada tujuh puluh tempat tidur; dan tiap-tiap tempat tidur ada tujuh orang perempuan dari bidadari.”

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sungguh tutup kepala salah seorang wanita surga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Dari Anas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seorang mukmin di syurga diberi kekuatan untuk menjimak isterinya sekian dan sekian.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah ia begitu kuat?” Baginda s.a.w bersabda, “Ia akan diberi kekuatan seratus orang laki-laki.” (H.R. Tirmidzi)

Dari Ummu Salamah r.a, ia berkata: Saya bertanya, “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari yang bermata jeli?” Baginda s.a.w menjawab, “Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata jeli, seperti kelebihan apa yang tampak daripada apa yang tidak tampak.” Saya bertanya, “Kerana apa wanita dunia lebih utama daripada mereka?” Baginda s.a.w menjawab, “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, ‘Kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemah-lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali, kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya’.” (H.R. Ath-Thabrani)

Riwayat Ibnu Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat bidadari-bidadari. Dikatakan kepadanya, namanya ‘Aina’, ia diciptakan dari empat unsur, iaitu misik, kafur, anbar dan za’faran. Semua bidadari-bidadari itu sangat merindukan suami-suami mereka. Andai sekali saja bidadari-bidadari itu meludah di dunia maka tawarlah lautan tersebut lantaran ludahnya. Tertulis pada tengkuknya, ‘Barangsiapa yang suka akan dirinya seperti aku, maka beramal dengan ketaatan kepada Tuhannya’.”

Riwayat Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya ketika Allah menciptakan syurga ‘Adn, Dia memanggil malaikat Jibril, berangkatlah engkau ke syurga ‘Adn dan lihatlah apa yang telah aku ciptakan untuk hamba-hambaKu dan wali-waliKu. Maka berangkatlah Jibril ke syurga ‘Adn dan mengelilingi syurga tersebut. Maka salah seorang bidadari dari penghuni istana-istana syurga yang masih perawan dan matanya bersinar-sinar memuliakannya, lalu bidadari itu tersenyum pada malaikat Jibril, maka menjadi teranglah syurga ‘Adn kerana gigi-giginya. Lalu malaikat Jibril bersujud, ia menyangka cahaya itu berasal dari Nur Tuhan Yang Maha Mulia. Maka bidadari itu memanggil malaikat Jibril, “Wahai makhluk yang dipercayai Allah s.w.t, tahukah engkau untuk siapa aku diciptakan?” ucap bidadari jelita itu. “Tidak,” jawab malaikat Jibril. “Sesungguhnya aku ini diciptakan oleh Allah s.w.t untuk orang yang memilih redha Allah s.w.t daripada menuruti hawa nafsunya,” ungkap bidadari itu.”

Di dalam kitab Daqoiqul Akbar Fii Dzikril Jannati Wan-Nar karya Imam Abdirrahim bin Ahmad Al-Qadhiy disebutkan: Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah s.w.t menciptakan wajah bidadari dari empat warna, iaitu putih, hijau, kuning, dan merah. ALLAH menciptakan tubuhnya dari minyak za’faran, misik, anbar dan kafur. Rambutnya dari sutera yang halus. Mulai dari jari-jari kakinya sampai ke lututnya dari za’faran dan wangian. Dari lutut sampai payudara dari misik. Dari payudara sampai lehernya dari Anbar dan dari leher sampai kepalanya terbuat dari kafur. Seandainya bidadari itu meludah sekali di dunia, maka jadilah semua air di dunia Kasturi. Di dadanya tertulis nama suaminya dan nama-nama Allah s.w.t. Pada setiap tangan dari kedua tangannya terdapat sepuluh gelang dari emas, sedangkan pada jari-jarinya terdapat sepuluh cincin, dan pada kedua kakinya terdapat sepuluh binggal (gelang kaki) dari Jauhar dan permata.” Ini adalah sedikit gambaran yang Allah berikan tentang bidadari di syurga. Walau bagaimanapun gambaran itu, manusia tidak akan boleh membayangkan sesuai dengan rupa aslinya, kerana sesuatu yang berada di syurga adalah sesuatu yang belum pernah kita lihat di dunia ini.

APABILA DOSA JADI PERKARA BIASA

Apabila disebut dosa dan pahala, pasti kita semua maklum mengenainya. Sifirnya mudah, buat baik dapat pahala, buat jahat dapat dosa. Namun ada juga yang begitu skeptikal dengan dosa dan pahala, maklumlah perkara yang tidak nampak. Atau tidak terasa apa-apa dengan dosa dan pahala disebabkan dek terlindungnya urusan tersebut dari pandangan mata manusia. Perkara sam’iyyatlah katakan. Alasan mudah, dosa dan pahala bukan manusia yang tentukan!

Memang benar, dosa pahala yang natijahnya sama ada neraka atau syurga, bukan manusia penentunya. Manusia masuk syurga bukan kerana amalannya, tetapi kerana rahmat Allah. Benar sekali. Walau bagaimanapun, dalam kehidupan pasti ada keseimbangannya. Malam ada siangnya, hidup ada matinya, syurga ada lawannya iaitu neraka. Begitulah juga ada perkara baik dan buruk yang menatijahkan pahala atau dosa.

Contoh yang mudah, api sebagaimana yang kita tahu, sifatnya adalah panas dan membakar. Namun ada pengecualiannya, seperti dalam kisah Nabi Ibrahim yang terselamat sewaktu dibakar oleh Raja Namrud. Sifat api yang panas dan membakar itu, tidak terjadi lantaran diarahkan oleh Allah s.w.t agar ia menjadi sejuk, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Anbiya ayat 69, yang bermaksud, “Perintah kami (Tuhan): Wahai api, sejuklah kamu dan selamatkan ke atas Ibrahim”. Apapun, fitrah api itu masih kekal panas dan membakar sehinggalah ke hari kiamat.

Begitulah juga dengan dosa dan pahala. Ia perkara yang jelas. Melakukan perkara yang haram dan dibenci Allah itu akan menatijahkan dosa. Melakukan perkara yang disukai Allah pula akan dihadiahi dengan pahala. Pahala membawa ke syurga, dosa membawa ke neraka. Namun ada pengecualiannya, sebab kita milik Allah dan walaupun berdosa, Allah memberikan peluang untuk hamba-Nya bertaubat selagi nyawa belum sampai di halkum.

Sesungguhnya kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak akan dapat lari daripada dua perkara tersebut. Segala tindak tanduk kita di dunia ini akan memanifestasikan sama ada pahala atau dosa, sesuai dengan tujuan manusia itu dihidupkan iaitu untuk beribadah kepada PenciptaNya. “Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadat kepadaKu.” (Az-Zaariyat:56)

Namun demikian, kehidupan di akhir zaman ini menyaksikan nilai dosa dan pahala seolah-olah menjadi perkara yang dikesampingkan. Perkara dosa dilakukan secara berleluasa tanpa timbul perasaan takut di hati. Sebagai contoh, perbuatan mengumpat telah dimaklumi sebagai satu dosa, namun ia menjadi perkara lumrah. Begitu juga dengan fitnah, zina, rasuah dan bermacam-macam lagi.

Tidak terkecuali pergaulan bebas lelaki wanita. Setiap kali tiba tahun baru, anak-anak muda akan bebas keluar berpasang-pasangan (bukan mahram pastinya) meraikan sambutan malam tahun baru. Berpesta dari tengah malam hingga ke pagi. Berkumpul seawal sebelum maghrib dan pulang selepas matahari terbit. Solat entah ke mana. Malah menurut pekerja-pekerja yang membersihkan kawasan-kawasan lepak anak-anak muda ini, kondom-kondom yang telah digunakan bersepah-sepah ditemui mereka sewaktu melakukan kerja pembersihan. Botol-botol minuman keras tidak ketinggalan ditemui. Yang nyata, mereka yang terlibat adalah anak-anak muda Islam.

Mengapa perkara dosa begitu senang diterima? Adakah sebab ia menjadi perkara lazim yang berlaku dalam masyarakat dan seolah-olah diterima pakai, maka ia tidak lagi dianggap sebagai dosa? Atau kita sudah lagi tidak kenal yang mana dikatakan dosa dan pahala?

Nabi Muhamad s.a.w pernah bersabda sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Nawwas bin Sam’an, “Kebaikan adalah peribadi yang terpuji, dosa adalah apa yang bergelut dalam hati sedangkan saudara tidak mahu orang lain mengetahuinya.”

Manakala Wabisah bin Ma’bad pula menyatakan: Saya pernah datang bertemu dengan Rasulullah. Kemudian Baginda bertanya kepada saya, “Saudara datang ini, hendak bertanya tentang kebaikankah?” Saya menjawab, “Benar”. Lantas baginda berkata, “Tanyalah hati saudara. Sebenarnya kebaikan itu adalah perkara yang apabila saudara melakukannya, jiwa dan hati saudara akan berasa tenang. Walaupun saudara bertanya berkenaan hal itu kepada orang lain dan mereka memberikan pendapat yang berbeza dengan perkara yang saudara rasakan itu. Manakala kejahatan dan dosa itu pula adalah perkara yang apabila saudara lakukan, jiwa saudara tidak tenang dan saudara berasa teragak-agak dan risau di dalam hati. Walaupun saudara bertanya berkenaan hal itu kepada orang lain dan mereka memberikan pendapat yang berbeza dengan apa yang saudara rasakan itu.”

Amatlah malang, kalau kita tidak dapat lagi merasakan getaran kerisauan dalam hati sebagaimana yang dinyatakan oleh baginda s.a.w kerana ia adalah petanda bahawa jiwa kita sebenarnya sudah mati. Titik-titik hitam telah menguasai hati sehingga ia tidak lagi berfungsi dengan baik. Justeru bagaimanakah empunya diri mahu bertanya kepada hati yang menjadi penggerak sama ada ke arah kebaikan atau kejahatan, jika hati sudah tidak lagi boleh memberi penilaian kudusnya?

“Setiap anak Adam berbuat kesalahan dan sebaik-baik orang bersalah adalah orang yang bertaubat.” (Hadith riwayat Imam Tirmidzi)

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang banyak dosa, tapi banyak bertaubat.”(Hadith riwayat Imam Ahmad)

Friday, April 29, 2011

: Taubat

Selama Ini Aku Jauh Dari MU
Selama Ini Aku Ingkar Pada MU
Begitu Byk Dosa Yg Ku Lakukan
Hingga Ku Merasa Diri Penuh Dosa

Terkadang Ku Lupa
Terkadang Ku Ingat
Ku Ingin Diri Ku Bertaubat

Ampuni Aku Dari Dosa-Dosa
Yg Ku Laku Kan Pada MU Ya Allah
Ampuni Aku Dari Kesalahan
Yg Ku Laku Kan Pada MU Ya Allah

Begitu Byk Dosa Yg Ku Lakukan
Hingga Ku Merasa Diri Penuh Dosa

Astagfirullah Astagfirullah
Ampuni Aku Ya Allah