RSS

Saturday, January 8, 2011

Tragedi Cinta Isteri

Dalam episod cinta takdir sering menguji  kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa dia tidak setia?  Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita.  Mengapa aku yang menerima nasib begini?Kita merasakan kitalah yang paling  malang. Hanya mulut mengaku Allah itu Tuhan tetapi mengapa dengan  takdir-Nya kita enggan? Semacam terlupa kata peneguhan di dalam al hadis  dan Al Quran bahawa besarnya masalah, beratnya ujian dan hebatnya  cabaran... berkadar terus dengan kekuatan iman.

Inilah hakikat yang mesti menjadi  pegangan dalam menghadapi tragedi cinta di dalam rumah tangga. Tragedi  cinta menjadi ujian iman dan tauhid sesetengah kita. Setiap orang ada  medan ujiannya masing-masing. Dan untuk isteri yang teruji dengan  pasangannya, sematkan di dalam dada... bahawa itulah takdir yang dipilih  oleh Allah untuk menguji keimanan kita.

Bukankah sudah diungkapkan oleh sejarah,  ada isteri yang baik diuji dengan suami yang jahat seperti Siti Asiah  isteri kepada Firaun laknatullah. Bujukan Allah cuma satu, bergembiralah  dengan pahala di sebalik ujian itu. Tenanglah dengan jani-janji syurga.  Ini bukan 'escapeism' tetapi itulah iman. Yakinlah, bahawa cinta yang  lebih besar sedang menguji cinta yang lebih kecil. Cinta Allah sedang  menguji cinta kita kepada isteri atau suami.

Dan jika cinta yang kecil itu rapuh,  jangan pula cinta yang lebih besar itu roboh. Percayakan janji-janji  Allah di akhirat adalah penawar paling mujarab untuk menghadapi  keperitan ujian hidup di dunia. Ketika disiksa menjelang kematiannya,  Siti Asiah hanya memohon kepada Allah untuk mendapat rumah di dalam  syurga. Jadi usah dikorbankan akhirat kita hanya kerana dipersiakan oleh  cinta kita di dunia.

Bagaimana sekiranya, cinta kita sudah  dipersiakan? Pasangan kita seolah-olah menjadi 'orang lain'. Bukan dia  yang kita kenal dahulu. Apakah ketika itu kita akan jadi panasaran?  Habis segala laci, meja tulis, kereta atau begnya kita selongkar.  Telefon bimbitnya, email, facebook dan apa sahaja milik peribadinya kita  bongkar. Mencari dan menghidu kalau-kalau terdapat bukti kecurangannya.  Siang malam diamuk gelisah. Kita bagaikan dirasuk.

Pada saat genting itu tekanlah butang  'pause'. Bertanyalah pada diri, apakah kita masih menaruh harapan? Jika  jawapannya masih ya, maka nyalakanlah harapan itu – keep hope alife! Berusahalah untuk memperbaiki diri. Dakap cinta Allah erat-erat. Moga  perubahan itu membuahkan harapan yang  akan merubah pasangan kita.

Tempuhlah jalan-jalan yang baik dan  dibenarkan oleh syariat untuk membetulkan keadaan. Jangan cuba membasuh  najis dengan air najis. Maksudnya, jangan gunakan jalan yang salah untuk  membetulkan kesalahan pasangan kita. Nanti keadaan akan bertambah  buruk. Terimalah takdir itu dahulu. Jangan mungkir. Kita tidak mungkin  dapat mengawal arah tiupan angin, tetapi kita masih mampu mengawal  kemudi pelayaran.

Setelah berusaha sehabis daya...  istirehatkan hati dan minda. Cuba tenangkan perasaan. Dia bukan  segala-galanya dalam hidup yang singkat ini. Harapkan yang terbaik  tetapi bersedialah menghadapi yang terburuk. Jika terpaksa kehilangan  cinta itu bukan bukan bermakna kehilangan segala-galanya.

Buat isteri yang diuji, ambillah masa  untuk bersunyi-sunyi dengan Allah. Ketika hati mu telah tenang  tuliskanlah surat ini. Surat buat menghadapi tragedi cinta...

Suami ku yang disayangi,

Surat ini ku tulis dengan hati yang  terus menerus berdoa agar kau dan aku berjaya mengatasi apa jua halangan  dalam perjalanan kita mendapat keredaan Allah. Hingga kini aku terus  yakin jika kita mencari kebaikan, insya-Allah, Allah akan memberikannya.

Terlebih dahulu ingin aku nyatakan  bahawa dalam apa jua pergolakan dan ujian yang telah berlaku sepanjang  kita berumah tangga, aku tetap menghormati mu. Walaupun ada masanya  sikap dan kata-kataku terlanjur dan terkasar, itu bukanlah kerana aku  sudah tidak  menghormatimu apatah lagi membencimu... tetapi semua itu  kerana terlalu sayang. Aku tidak mahu kehilangan dirimu sebagai seorang  suami seperti mana anak-anak kita juga tidak mahu kehilangan  kasih-sayang seorang ayah.

Maafkan aku. Akulah yang lebih  banyak bersalah dan tidak bijak menghadapi ujian rumah tangga ini.  Sesungguhnya sejak dari dulu hingga sekarang aku menagih pimpinan dan  panduanmu. Pimpinlah aku untuk menjadi isteri yang solehah dan ibu yang  baik kepada anak-anak kita. Aku tidak mahu berpisah dengan semua  kesayangan ku ini. Oleh sebab itu aku merayu agar aku terus disayangi,  dilindungi, dipercayai dan dipimpin untuk menjadi wanita yang  benar-benar menjadi penyeri hidup seorang suami dan anak-anak.

Kebahagiaan kita sekeluarga berada  di tangan mu. Dikaulah yang menjadi peneraju dan nakhoda rumah tangga  ini. Aku tahu tugas dan amanah ini sangat berat. Ia menagih keikhlasan,  keimanan dan kejujuran yang tinggi daripada mu. Aku sedar apa yang akan  ditanyakan Allah di Hari Akhirat kelak kepada seorang suami sebagai  pemimpin jauh lebih berat dan sukar dijawab berbanding pertanyaan Allah  kepada seorang isteri. Aku tahu tangung jawab mu sangat berat. Jadi aku  sentiasa sedia dan setia berada di sisi mu untuk sama-sama mengharungi  kepayahan ini.

Marilah sama-sama kita insafi bahawa  hakikatnya umur kita kian bertambah, upaya dan tenaga kita semakin  kurang, tetapi perjalanan kita masih jauh dan beban kita semakin  memberat. Amanah yang ada pun belum selesai kita tunaikan, apatah lagi  untuk menambah beban yang baru. Aku bimbang... kita berdua akan kecundang.

Oleh sebab itulah aku sering  mengingatkan diriku dan dirimu, marilah kita kembali menilai peranan dan  tanggung jawab kita masing-masing. Aku sebagai seorang isteri dan kau  sebagai seorang suami... Marilah kita sama-sama bermuhasabah, apakah kiita  telah melaksanakan amanah yang kita janjikan di hadapan Allah ketika  kita mula bernikah dahulu?

Pernikahan disamakan dengan  mendirikan masjid. Begitu sucinya ikatan perkahwinan dalam Islam. Ia  bukan dibuat hanya kerana untuk melepaskan hawa nafsu semata-mata. Jika  itulah sahaja niat kita berkahwin, maka apakah yang membezakan manusia  dengan haiwan? Tetapi sebaliknya, Islam meletakkan hubungan sah antara  suami dan isteri sebagai suatu yang sangat tinggi dan suci.

Ia bukan sahaja perkongsian fizikal,  tetapi perkongsian fikiran, perasaan dan jiwa untuk sama-sama berbakti  kepada Allah. Rumah tangga hakikatnya adalah sebuah masjid... Di dalam  masjid orang solat, berzikir, membaca Al Quran, mendengar tazkirah  kuliah dan laian-lain ibadah.

Aku rindukan semua itu. Tetapi  kerinduan itu tidak akan kesampaian tanpa bimbangan darimu. Aku lemah  wahai suami ku. Pimpinlah aku untuk mendapat kasih sayang Allah melalui  aliran kasih sayangmu. Engkaulah harapan aku dan anak-anak. Kami  hakikatnya telah diserahkan oleh Allah sebagai amanah kepada dirimu  untuk disayangi di dunia dan di akhirat. Janganlah disia-siakan amanah  ini. Kelak buruk padahnya kepada kami dan kepada mu jua. Relakah engkau  melihat kami terkapa-kapa di dunia ini tanpa pimpinan? Dan di akhirat  terhumban ke neraka yang penuh seksaan?

Suami ku,

Atas kebimbangan itu kekadang aku  jadi cemburu. Bila ku lihat langkah dan sikap mu sedikit terbabas, aku  menjadi sangat cemas. Bila ku lihat kau seakan-akan berubah, aku menjadi  sangat gelisah. Bukan kerana benci, tetapi kerana sayang. Mengapa  tidak? Bukankah di tangan kamu kemudi rumah tangga ini.

Kesilapan dan kesalahan mu sangat  buruk akibatnya kepada kita sekeluarga. Jadi, fahamilah hati isteri mu  ini wahai suami ku... Curiga ku bukan kerana prasangka. Cemburu ku bukan  kerana melulu. Jauh sekali untuk mengawal dan memperbudak-budakan.  Tetapi sekadar ingin mengingatkan bahawa kebakaran yang memusnahkan  selalunya berpunca hanya daripada percikan api!

Di antara kita adalah Allah. DIAlah  zat yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Adil. Manusia tidak akan  dapat mengawal dan memantau manusia lain setiap masa dan ketika. Kini  aku pasrah kepada Allah. Aku lelah dan kalah untuk meneliti dan  memeriksa di seluruh penjuru. Aku tidak dapat mengawal hati mu dan kau  juga tidak dapat mengawal hatiku.

Hati kita berdua, Allahlah yang  menjadi pemantaunya. Menyedari hakikat ini, aku kini hanya fokus untuk  memperbaiki diri. Aku ingin memperbaiki hubunganku dengan Allah dan  memperbaiki hubunganku dengan sesama manusia. Aku yakin Allah tidak akan  mengecewakanku. Dan aku juga yakin Allah akan terus memberi  kebaikan-Nya kepadaku melalui dirimu.

Marilah sama-sama kita perbaiki diri  kita atas keyakinan rumah tangga ini perlu terus diselamatkan dan  dimeriahkan. Jika benar itu masih menjadi harapan dan keyakinan kita,  insya-Allah, pasti Allah akan tunjukkan jalan-jalan-Nya. Dalam hidup ini  kita tidak boleh dapat semua perkara dalam satu masa. Bila kita  mendapat sesuatu, pasti pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu  yang lain. Jadi marilah sama-sama kita pastikan apa yang kita dapat  lebih berharga dan lebih baik berbanding apa yang kita terpaksa  lepaskan.

Oleh itu jika kita ingin mendapat  rumah tangga yang bahagia, kita terpaksa belajar 'melepaskan'  perkara-perkara lain. Rumah tangga kita adalah keutamaan. Ia amanah  Allah, harapan kita dan anak-anak kita. Sebaliknya, segala kesukaan atau  keseronokan kita yang lain mungkin terpaksa kita korbankan demi membina  kebahagiaan ini.Inilah pengorbanan.

Tanpa pengorbanan tidak akan ada  kebahagaiaan. Kita akan rela dan tega berkorban jika kita benar-benar  inginkan rumah tangga ini berjaya. Jika tidak, kita terpaksalah  mengorbankan rumah tangga ini... Apakah ini berbaloi? Tidakkah ini seperti  kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran? Atau  mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan?

Suami ku,

Tipuan dunia dan godaan nafsu ini  sangat memberangsangkan. Syaitan sentiasa menghias bibit-bibit dosa-dosa  dengan segala keindahan dan kecantikan. Sekali kita terjerumus, payah  untuk bebas kembali. Selagi yang diburu tidak tercapai, selagi itulah  kita lelah mengejarnya. Tetapi setelah kita mendapat, ada yang lain pula  datang menggoda. Apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada itulah  yang kita risaukan. Kita akan lesu kerana asyik memburu.

Mengejar nafsu itu bagai mengejar  bayang-bayang. Dilihat ada tetapi apabila digenggam ia hilang... di hujung  percarian itu pasti ada lesu dan jemu. Kehendak nafsu tidak ada batas  dan tidak pernah puas. Padahal kematian itu boleh datang tiba-tiba.  Relakah kita tertipu mengejar fatamorgana hanya kerana dari jauh ia  kelihatan umpama air yang tergenang?

Aku mengingatkan diri ku dan diri mu  kerana sayang. Aku selalu bertanya pada diri sendiri, relakah aku  mengorbankan rumah tangga ini hanya untuk mengejar sesuatu yang tidak  pasti? Aku terpaksa melepaskan salah satunya. Dan insya-Allah, buat  selamanya aku lebih sanggup melepaskan apa dan sesiapa sahaja, asalkan  jangan melepaskan kebahagiaan rumah tangga ku. Itulah yang ada di  hatiku. Dan itulah jua yang aku harapkan, doakan ada dalam hati mu.

Jika dalam surat ini ada kesedihan...  ia bukan kekecewaan tetapi itu hanya harapan. Jika dalam surat ini ada  teguran... itu bukan kebencian tetapi itu hanya peringatan, buat ku dan  buat mu jua. Namun, ku akui dalam surat ini terlalu banyak doa dan  harapan. Doa ku hanya pada Ilahi. Dan harapan ku tetap untuk mu suami.  Jika air mata itu berkesan, nescaya akan tulis surat ini dengan air  mata. Bukan air mata kecewa tetapi air mata harapan...

Ku harap kau membaca surat ini  dengan hati yang terbuka. Bayangkan semula harapan dan cita-cita kita  seawal kita memutuskan untuk berkahwin dahulu. Saat indah itu telah  berlalu tetapi keindahan itu akan menjelma semula dalam bentuk baru jika  kita berusaha untuk merealisasikannya. Dalam perkahwinan yang baik,  seorang lelaki dan wanita sentiasa mencari ruang dan peluang untuk  memperbaiki dirinya demi orang yang disayanginya.

Dan sekalipun dalam perkahwinan yang  paling bermasalah, penawar yang mujarab adalah kebenaran. Menyatakan  kebenaran kepada pasangan adalah kaedah terbaik untuk membuktikan cinta  adalah lebih utama daripada satu pendustaan!

Mohon berundur dulu. Pasangan yang  bahagia bukanlah tidak pernah membuat kesilapan. Tetapi mereka tetap  bahagia kerana mereka sentiasa belajar mengakui kesilapan itu dan  belajar daripadanya... dan akhirnya melupakannya! Itulah aku kini. Ku akui  kesilapan ku dan aku sedang memperbaikinya dan aku ingin melupakannya...

Suami ku, aku masih menaruh harapan. Insya-Allah, kau masih sudi membantu aku untuk itu! Amin.

- [LINK=/index.php]Artikel iluvislam.com[/LINK]

No comments:

Post a Comment