Wanita adalah hiasan dunia dan sebaik-baik wanita di muka bumi Allah yang agung ini adalah wanita yang solehah. Tiada lelaki yang tidak mahukan seorang wanita untuk dijadikan teman hidupnya memiliki ciri-ciri wanita solehah. Korang macam mana? Okey Lepas baca habis entri ini, sila jawab persoalan aku tu ye!
Entri ini ditulis bertujuan untuk berkongsi sebuah kisah pada zaman dahulu tentang kasih dan cintanya seorang wanita ini kepada Allah S.W.T. Mari sama-sama kita baca dan ambil iktibar dari kisah yang membuatkan mata dan hati aku menangis.
Dalam sebuah riwayat mengatakan bahawa seorang lelaki munafik yang sangat kedekut telah bersumpah kepada isterinya supaya tidak menyedekahkan sesuatu apa pun kepada orang lain. Maka suatu hari datang seorang peminta sedekah ke rumah wanita itu ketika suaminya tiada di rumah. Peminta sedekah itu berkata, “Wahai penghuni rumah, tolonglah berikan aku sesuatu”.
Sebaik sahaja isteri orang munafik itu mendengar permintaan peminta sedekah, lalu diberinya 3 keping roti. Lalu peminta sedekah itu berlalu dan mengucapkan terima kasih. Dalam perjalanannya, dia bertemu dengan lelaki munafik tersebut lalu lelaki munafik itu bertanya kepada peminta sedekah, “Di manakah kamu mendapat roti ini?” Maka pengemis menjawab, “Orang di rumah sana memberiku”.
Orang munafik mengetahui bahawa rumah yang dimaksudkan adalah rumahnya, lalu dia pulang dengan perasaan marah dan berkata kepada isterinya, “Bukankah aku telah melarang kamu dari memberikan sesuatu apa pun kepada sesiapa?” Isterinya menjawab, “Aku berikan roti kepada pengemis itu kerana Allah S.W.T”.
Apabila orang munafik itu mendengar kata-kata isterinya, maka dia menjadi sangat marah lalu menyalakan dapur rotinya sehingga panas. Kemudian dia berkata kepada isterinya, “Berdirilah dan campakkanlah diri kamu ke dalam api ini kerana Allah”.
Isterinya akur dengan kehendak suaminya lalu memakai perhiasannya dan berhias sehingga cantik. Orang munafik itu berkata, “Kamu jangan pakai perhiasan-perhiasan ini”. Isterinya menjawab, “Seorang kekasih akan memakai perhiasan untuk kekasihnya, sedangkan aku adalah orang yang sedia berkunjung pada kekasihku (Allah)”.
Setelah itu, wanita tersebut terus terjun ke dalam dapur tempat membuat roti yang panas lalu orang munafik tesebut menutup tudung dapur dan beredar dari situ. Setelah tiga hari, orang munafik itu pun membuka tudung dapur dan dia terperanjat apabila melihat isterinya itu masih sihat tanpa terdapat apa-apa kecacatan pada dirinya berkat kuasa Allah.
Kemudian terdengarlah orang munafik itu suara dari langit yang berkata, “Kamu tidak mengerti bahawa sesungguhnya api tidak akan membakar kekasih-kekasih Kami”.
—————————————
Dari kisah ini apa yang dapat disampaikan adalah mereka yang benar-benar mencintai Allah dan agamaNya akan terselamat dari siksaan api di dunia mahupun api neraka di akhirat kelak. Jadi mari sama-sama kita muhasabah diri di manakah kedudukan kita di sisi Allah kini? Apakah kita ada perasaan seperti wanita tersebut yang begitu cintakan Allah? Sama-sama kita renungkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment