RSS

Thursday, July 7, 2011

Status Rezeki Mengambil Gambar Tidak Tutup Aurat

Sejak kebelakangan ni, kita selalu dengar tentang kamera yang serba canggih sama ada di tv, surat khabar, radio, Facebook, blog dan macam-macam lagi media yang ada. Ya, itulah kamera DSLR yang semakin menjadi sebutan dan kegunaan orang ramai. Memandangkan ia adalah satu alat yang canggih, jadi harganya sudah pasti canggih juga. Tak main la harga bawah RM 1000. Beribu-ribu juga modal nak dikeluarkan jika ingin memiliki alat sebegitu. Itu belum dicampur lagi dengan alatan tambahan untuk hasil fotografi yang baik.

Oleh kerana modal yang besar, maka timbullah keinginan untuk membuat bisnes menggunakan pelaburan ini. Beli kamera beribu-ribu, jadi dengan menjadi jurugambar adalah membuka peluang untuk mendapat pulangan yang lumayan. Ambil tempahan untuk tangkap gambar majlis, gambar iklan, gambar pengantin, gambar couple, gambar model, gambar pemandangan dan macam-macam gambar lagi adalah menjadi kebiasaan jurugambar ini.

Disebabkan hal ini, maka timbullah satu persoalan iaitu mencari rezeki dengan mengambil gambar orang yang membuka aurat dan kita fokuskan kepada pengantin sebab biasa orang kahwin ni memang cari jurugambar untuk ambil gambar mereka. Apakah hukumnya? Saya terjumpa satu sesi soal jawab dan kini saya kongsikan bersama anda:

Assalamualaikum..
Saya membuat perkerjaan menjadi jurugambar perkahwinan separuh masa. Dalam proses itu ada terdapat pengantin perempuan yang tidak memakai tudung serta mendedahkan aurat semasa proses bersolek oleh mak andam. Pengantin berkehendakkan saya mengambil gambar gambarnya disolek oleh mak andam. Kemudian selepas pengantin siap bersolek, dia akan memakai tudung penuh dan menutup aurat untuk upacara akad nikahnya dan perkahwinannya.

1) Adakah dibolehkan saya mengambil gambar pengantin perempuan yang sedang disolekkan yang tidak menutup rambut kerana ia diminta oleh pengantin perempuan?

Jawapan: Mengikut Dr. Yusof Al-Qaradhawi, walaupun fotografi harus hukumnya, tapi hukumnya bergantung kepada objek fotografi atau objek yang di ambil oleh jurugambar itu. Jika gambar yang diambil adalah gambar bogel, maka ketika itu hukum fotografi adalah haram. Begitu juga gambar perempuan yang membuka auratnya. Hukum yang kedua, hukum melihat aurat perempuan tanpa keperluan yang darurat (seperti perubatan bagi seorang doktor), maka hukumnya adalah haram. Maka hukum anda mengambil gambar-gambar perempuan yang mendedahkan aurat adalah haram hukumnya. Permintaan pelanggan bukanlah alasan untuk mengharuskan yang haram.

2) Apakah rezeki yang saya terima dari mengambil gambar pengantin sedang disolekkan ini halal?

Jawapan: Tidak halal. Ini kerana mengikut kaedah fiqh, “Al hukum bil wasilah hukmu bil maqosyid” (hukum bagi wasilah adalah hukum dari maksud), ia datang dari kaedah fiqih, “Ma haruma isti’maaluh, haruma ittikhaazuh” (yang haram penggunaannya, haram pula memperolehinya) (Muhamamd al-Zarqa’, syarah qawaid/389).

3) Bagaimana pula dengan hasil rezeki gambar-gambar pengantin perempuan yang menutup aurat penuh? Adakah rezeki yang diterima itu halal?

Jawapan: Halal. Ia kembali kepada hukum asal fotografi adalah harus dan harus pula rezeki dari foto-foto yang halal.

4) Bolehkan saya menolak jumlah wang gambar pengantin perempuan yang tidak menutup aurat ini daripada keseluruhan wang hasil gambar perkahwinannya? Maknanya saya hanya memakan hasil gambar yang diambil pengantin wanita yang menutup aurat sahaja (memberikan hasil ini sebagai rezeki keluarga) dan hasil gambar yang tidak menutup aurat saya tidak memakannya (iaitu menggunakan hasil itu dengan membeli kamera/filem baru). Contohnya harga pakej gambar ialah RM100. Katakan ada 40 (40%) keping gambar pengantin wanita tidak menutup aurat rambut dan 60 (60%) keping lagi menutup aurat penuh. Jadi saya memberikan rezeki RM60 itu kepada keluarga saya dan RM40 itu saya tidak memakannya (dan menggunakan RM40 utk membeli filem/lensa).

Jawapan: Amalan spt ini sebenarnya tidak pernah dilakukan oleh orang Islam sebelum ini khususnya di zaman salafus-soleh. Mereka berpegang teguh dgn hadis Asy-Syarif, hadis no.6 dalam Matn arba’een anNawawiyah (Matan hadis 40 Imam Nawawi) dari Nu’man bin Bashir yang dikeluarkan oleh Dua Sahih Bukhari-Muslim, “Sesungguhnya yang Halal itu jelas, yang haram itu jelas dan di antara keduanya banyak perkara syubahah (samar-samar) yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” Maksudnya jika kita melakukan begitu, cuba membuat perakaunan (accounting) ini dari sumber halal dan ini dari sumber haram, ini kerana kita takut accounting itu tidak tepat dan masih ada yang syubahah. Lagipun dalam tubuh orang Islam itu tidak berhimpun sifat halal dan haram serta syubahah. Dia hanya mengutamakan halal bayyin dalam semua urusan hidupnya. Dalilnya: “Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya.” (Quran 33:04). Maksud ayat ini, orang Islam dia hanya ada satu buah hati, ada satu pilihan, hanya memilih yang halal sahaja dan menjauhi syubahah apatah lagi yang haram dalam urusan hidupnya.

Islam tu mudah tapi jangan ambil mudah tentang Islam. Mencari yang halal itu wajib bagi umat Islam.

No comments:

Post a Comment