RSS

Thursday, December 16, 2010

Anak Muda Bercerai: Siapa Yang Terkena?

Dalam sebuah risalah yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid yang bertajuk 'Berwaspada!!!Perceraian Di Usia Muda; Anak Menderita' dengan jelas mendatangkan butiran-butiran dan fakta-fakta yang berkaitan dengan statistik perceraian di kalangan pasangan Melayu Islam di Malaysia yang semakin parah.
Apa yang lebih mengejutkkan ialah peningkatan mendadak jumlah perceraian di kalangan pemuda-pemudi yang baharu dan dianggap pucuk sahaja dalam arena berumahtangga. Belum pun sempat mengenal hati budi masing-masing sebahagian daripada mereka terpaksa mengambil langkah drastik iaitu bercerai bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Nyata kesan akibat perceraian itu akan memalitkan luka yang dalam kepada mereka yang terlibat.
Pada penulis perceraian adalah satu jenayah terhadap anak-anak yang masih kecil serta memerlukan sepenuh kasih sayang daripada kedua orang tua mereka. Anak-anak yang tidak mempunyai ibu atau ayah ketika membesar akan lebih berisiko untuk terdedah kepada masalah psikologi yang serius lantas mengakibatkan rantaian kepada gejala-gejala sosial lain.
Statistik perceraian di Malaysia
Merujuk kepada risalah yang dinyatakan di atas, statistik semasa daripada JAKIM menunjukkan bahawa kadar perceraian di Malaysia adalah amat membimbangkan.
Dengan jumlah keseluruhan perkahwinan antara tahun 2005 hingga 2008 yakni sebanyak 491,470, jumlah perceraian pula adalah sebanyak 80,564 kes seluruh negara.
Jumlah perceraian saban tahun jelas menunjukkan peningkatan, bermula 2005 dengan 17,749 diikuti tahun 2006, 19,475. Pada tahun 2007 pula telah meningkat kepada 21,051 kes dan ianya terus meningkat pada tahun berikutnya dengan jumlah sebanyak 22,289.
Data juga menunjukkan bahawa perkahwinan kurang dari 10 tahun paling banyak menghadapi kes perceraian saban tahun. Lingkungan umur individu yang terlibat dalam kes perceraian usia rumah tangga yang setahun jagung ini adalah dalam lingkungan 31-35 tahun.
Ini jelas menunjukkan bahawa dalam umur perkahwinan yang kurang 10 tahun itu jugalah zuriat daripada ibu bapa masing-masing sedang memerlukan sepenuh perhatian dan kasih sayang dalam membentuk dan mendidik mereka.
Tidak terbayang kesannya kepada mereka ini dek kerana terpaksa memikul bebanan psikologi di usia yang masih amat hijau itu akibat daripada perceraian kedua orang tua mereka. Akhirnya kerana mereka terlepas dari menerima curahan kasih sayang dan perhatian dari kedua orang tua mereka akan lebih mudah terdedah dengan anasir-anasir bobrok(dilapidated) sosial semasa.
Mencegah Penceraian
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubat. Falsafah klise ini seakan sangat sinonim dengan rakyat Malaysia amnya. Malah ada ungkapan yang serupa dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab, walaupun kita kurang pasti hak milik siapa sebenarnya perumpaan tersebut. Namun nilainya tetap wajar untuk diambil sebagai iktibar.
Persiapan untuk menghadapi sepak terajang dalam berumah tangga sepatutnya telah dibuat sebelum berada di dalam arena itu lagi. Kita sangat memuji pihak kerajaan kerana telah memperkenalkan kursus kahwin yang wajib dihadiri oleh bakal pasangan pengantin yang mendedahkan pelbagai perkara untuk persiapan ke alam berumahtangga dalam masa dua hari.
Sebenarnya ia dikira tidak mengcukupi kerana ilmu berkenaan ibadat rumahtangga ini perlu sentiasa dipelajari dan dihayati oleh pasangan dari masa ke semasa. Modulnya juga harus sentiasa dipantau dan ditambah baik bersesuaian dengan kepesatan dan kemajuan semasa.
Pihak penganjur tidak boleh memandang keuntungan semata-mata kerana di sinilah ruang dakwah secara langsung terbentang luas. Penceramah seharusnya memainkan peranan seoptimum mungkin, pengalaman kita mengatakan bahawa peserta kursus akan datang secara berpasangan kebiasaannya kerana kelas dijalankan secara unisex. Penceramah pula tidak lebih dari berlawak jenaka yang berbau lucah sahaja. Akhirnya peserta hanya akan mendapat sekeping sijil pengesahan perkahwinan untuk mengcukupkan syarat perkahwinan mereka yang ditetapkan oleh jabatan agama.
Arahan mewajibkan pasangan yang bakal berkahwin untuk mengambil ujian HIV juga amat digalakkan dan harus diberi pujian kepada jabatan agama sekaligus pihak kerajaan. Pada peringkat awalnya, hanya beberapa negeri sahaja yang menjalankan dasar itu namun kini ianya adalah diwajibkan ke seluruh negeri di dalam negara Malaysia. Ini adalah teknik pengcegahan yang berkesan.
Mad'u-mad'u yang sedia datang menyerah diri ini jika dibelai dengan penuh hikmah maka akan terjalinlah ikatan berpanjangan dengan para penganjur dan tawarkanlah khidmat kaunseling dari masa ke semasa bahkan sehingga mereka menjejak ke alam rumah tangga sekalipun.

10 Persiapan bakal suami mahupun isteri

Apabila diperhatikan secara dalam, antara punca kepada perceraian di usia perkahwinan dan usia pasangan yang muda adalah kerana mereka boleh dianggap sedikit terburu-buru dengan berkahwin tanpa persediaan yang sepatutnya dari sudut fizikal, mental dan mungkin juga material.

1. Pasangan yang bakal berkahwin perlu tahu dan faham skop tanggungjawab masing-masing dalam memainkan peranan sebagai suami mahupun isteri. Kewajipan melaksanakan amanah tersebut adalah kewajipan dan menjadi tuntutan agama, malah ia akan dihisab di padang Mahsyar kelak.

2. Pasangan yang bakal berkahwin juga mesti mendalami ilmu agama secara berterusan terutama untuk bakal suami, kerana menjadi kewajipan suami kelak untuk mendidik isteri dengan ilmu agama. Jika tidak mampu cadangkan dan doronglah mereka untuk menghadiri kuliah-kuliah agama. Jangan pula kita menghalang mereka daripada menuntut ilmu agama tersebut.

3. Perlu adanya satu ketetapan sebelum perkahwinan bahawa walauapapun yang terjadi di dalam rumahtangga (selagi tidak memudaratkan keselamatan), maka jangan sampai ianya melibatkan orang ketiga termasuk kedua ibu bapa atau mentua sekalipun. Berdepanlah secara lemah lembut dan berhikmah dengan pasangan, insya-Allah keharmonian rumahtangga menjadi habuan.

4. Perlunya pasangan itu memahami adat resam budaya tempatan pasangannya jika perkahwinan mereka berbentuk rentas budaya(cross-cultural). Sentiasa menghormati dan cuba salami dan asimilasikan adat resam budaya belah pasangan, anda tentu akan menjadi kebanggaan bakal mentua.

5. Keterbukaan dan perbincangan tuntas secara berterus terang mampu untuk memahamkan pasangan masing-masing jika bakal pengantin tersebut menghadapi masalah seksual. Kerana adalah lebih baik berterus terang dan bagi hak untuk diri pasangan memilih samada untuk terus bersama atau sebaliknya kerana jika hal ini hanya diketahui selepas berkahwin maka pasangan akan rasa tertipu dan yakinlah implikasinya akan bertambah buruk.

6. Buat persediaan yang mantap dari sudut ekonomi, kita tidak nafikan Allah menjamin rezeki kita apabila kita sudah berkahwin dan ini sudah dinukilkan di dalam lembaran kalamnNYA. Namun janganlah pula tunggu sehingga masalah ekonomi memangkin kepada punca krisis rumahtangga. Sebenarnya sikap bertanggungjawab dan berusaha yang paling penting, dan yakinlah Allah tidak akan sia-siakan usaha kita untuk melakukan perkara yang disuruh oleh-Nya.

7. Kerjaya yang merujuk kepada pangkat, pada hari ini menjadi kebiasaan wanita yang lebih bekerjaya mengahwini lelaki yang berjawatan biasa. Di sini sifat sabar pihak suami perlu dioptimumkan dan sifat ego pihak perempuan perlu diminimumkan. Hormatlah pasangan sebagai suami atau isteri kita nescaya kehidupan kita akan harmoni.

8. Kesihatan adalah faktor yang agak penting dalam proses pembinaan rumahtangga kerana penyakit kronik hanya akan dianggap menyusahkan pihak yang satu lagi. Jagalah kesihatan untuk orang yang tersayang, jauhilah amalan merokok dan pemakanan serta gaya hidup yang merisikokan diri kita kepada penyakit kronik. Jika penyakit itu terjadi selepas perkahwinan hanyasalah kepada pasangan perlu bersabar dengan sebenarnya, yakinlah Allah tidak akan menguji hambanya jika ujian tersebut tidak mampu kita tanggung.

9. Hiasilah diri kita dengan akhlak dan perangai yang dianjurkan oleh Islam. Mampirkanlah sikap-sikap yang mahmudah yang tempiskanlah bersikap dengan perangai mazmumah. Sungguh tidak rugi jika kita menjadi orang yang baik-baik kerana kelak orang juga akan baik-baik sahaja dengan kita, 'what you give you get back' adalah kata-kata yang sesuai untuk motivasi dalam kehidupan.

10. Cubalah belajar untuk berkomunikasi dengan cara yang betul. Hampir 80% peratus kegagalan rumahtangga berpunca pada asalanya kerana masalah komunikasi. Krisis ini muncul apabila pasangan mendapati dirinya tidak difahami oleh pasangannya dan ini akan menimbulkan rasa tidak diambil berat lantas mencetuskan pemberontakan dalaman. Ini jelas boleh dilihat dan didengar, bacalah buku motivasi komunikasi rumahtangga yang bertajuk 'Mens Are From Mars, Womens Are From Venus' dan sambungannya 'When Mars and Venus Collide' karangan John Gray.

Kesimpulan
Bahagia atau tidak adalah pilihan kita sendiri. Kita berhak utuk ,membuat pilihan samada ingin bahagia dan gembira atau sebaliknya. Allah sendiri sudah nyatakan bahawa tidak akan diubah sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri. Ini bermaksud walaupun qada dan qadar kita sudah ditetapkan, namun kerana ianya bersifat ghaibiyah dan tidak diketahui kesudahannya maka menjadi kewajipan kita sebagai hambanya untuk sentiasa berusaha mengikut lunas-lunas agama Islam yang benar.
Dan yakinlah hanya kembali kepada al-Quran dan Sunnah yang sebenar-benarnya akan menjamin ketenangan, keabadian, kegembiraan, keindahan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment