RSS

Saturday, December 11, 2010

Dunia 1Malaysia Yang Penuh Dengan Kepuraan

Aku berperut buncit.  Dalam melafazkan kenyataan ini, otak durianku terfikir akan keperluan membuat penjelasan bagaimana si otak durian yang pada satu ketika dahulu dipengaruhi kuat oleh kromosom X ibunya tidak mempunyai tubuh badan yang secocok dengan rupa wajahnya.

Semenjak kecil, ibu mengajarku cara hidup yang berjimat cermat.  Pastikan kau makan sampai habis segala apa yang disediakan; bersyukurlah keluarga miskin dapat makan tiga kali sehari.  Pesanan ibu tidak dihiraukan.  Namun setiap kali makan, pasti ku habiskan segala apa yang disediakan.

Lepas makan lantas ku duduk di atas bangku kayu yang rendah di depan timbunan udang setinggi otak durianku.  Di depan udang bertimbun-timbun aku mempelajari cara mengopek udang secara pantas dan bergaya tanpa meninggalkan bangku kayuku melainkan jika perlu pergi ke tandas.  Ini kerjaya pertamaku sebelum aku daftar masuk Darjah Satu.  Barang kali aku patut menulis semula resumeku dan masukkan butiran berikut: Kerjaya Pertama Mengopek Udang Selama Tujuh Tahun.

Pengalaman kerja tujuh tahun tidak memberikan hasil peningkatan gajiku dalam kadar yang setimpal dengan produktivitiku.  Aku bukan satu-satunya pekerja yang menimpa nasib malang sebegini.  Ramai pekerja di Malaysia berkongsi rintihan yang sama denganku.  Nasib perutku cukup malang kerana tertekan atas bangku kayu tanpa banyak bergerak selama bertahun-tahun.

Berdasarkan kajian Bank Dunia, purata kenaikan kadar gaji tahunan bagi sektor domestik dan eksport dari 1994 hingga 2007 hanyalah sekitar 2.6% dan 2.8% sahaja berbanding kadar purata dunia daripada laporan Pejabat Buruh Antarabangsa iaitu pada 3.2%.  Sementara itu, kajian UNICEF menunjukkan bahawa purata kadar inflasi negara dari 1990 hingga 2008 adalah pada tahap 4%!

Pelafazanku bahawa aku berperut buncit bukan sekadar mengemukakan satu kenyataan peribadi.  Tujuanku adalah untuk membezakan pengertian golongan kurang berada yang berperut buncit dengan golongan berada yang berperut buncit seperti Samy Vellu dan Ling Liong Sik (gambar kiri).  Penjelasan terhadap perbezaan ini perlu kerana menurut lakaran sosiologi pengetahuan, proses pengupasan dan penjelasan seumpama bakal melahirkan legitimasi terhadap sesuatu kenyataan yang senantiasa dianggap "as it is" tanpa menghiraukan set-set prasangka sedia ada yang tertanam dalam otak seseorang sepanjang proses pembelajaran dan pengalaman hidupnya.

Lazimnya, kita kedengaran bahawa kerana kesenangan hiduplah, perut seseorang makin bertambah buncit.  Namun pengalaman diri dan pengamatanku mendapati berperut buncit kerana kesenangan hidup hanya salah satu kategori dalam kita membicarakan kisah perut yang membuncit.  Mungkin penjelasan ini sesuai untuk kelompok pemimpin politik dunia 1Malaysia dan kelompok UMNO-putra yang banyak mengaut keuntungan melalui proses ketidaktelusan tadbir urus, ketirisan dan pemborosan kewangan negara, namun kita wajar melihat kepada kategori lain yang senasib dengan pengalaman perut buncitku.

Jika ditinjau Bahagian Kedua Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan baru-baru ini, sekali lagi dibangkitkan salah satu objektif MEB sebagai "Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah 40% Terendah" Seperti yang telah dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh dan dipetik juga statistik yang sama.  Bahawa pada tahun 2009, pendapatan isi rumah 40% terendah adalah kurang daripada RM2,300 sebulan dengan purata RM1,440 sebulan.  Terdapat kira-kira 2.4 juta isi rumah dalam kategori ini dengan purata 3.8 orang setiap isi rumah.  Hal ini bermaksud seramai 9.12 juta rakyat Malaysia berada dalam kategori 40% berpendapatan rendah di mana 51.4% atau 4.69 juta rakyat daripada kategori ini berada dalam kawasan bandar dan 73% atau 6.66 juta rakyat daripada kategori ini ialah Bumiputera.

Aku kini menetap di Lembah Klang.  Pendapatan isi rumahku tidak tergolong sebagai 40% terendah.  Dalam kalangan 4.69 juta rakyat yang menetap atau bekerja di bandar-bandar Malaysia, aku rasakan mereka yang menetap di Lembah Klang sedang mengharungi kesuraman hidup yang penuh tekanan.

Aku suka makan roti bakar dan roti canai.  Tetapi fakta ini tidak bermaksud aku mesti makan roti bakar atau roti canai setiap kali aku makan sarapan pagi atau supper.  Namun aku yang kononnya mempunyai hak memilih makanan sebagai pengguna acap kali tidak mempunyai pilihan.  Setiap kali aku teringin nak makan char kway teowuntuk sarapan pagi, aku beralih untuk "order" roti bakar sebaliknya, kerana sepinggan char kway teow harganya RM4.  Beberapa hari yang lepas, kakak memberitahu harga char kway teow akan naik sebanyak 50 sen kepada RM4.50 kerana harga telur naik.

Begitu juga kisah roti canai si perut buncit.  Setiap kali aku teringin nak makan nasi kandar semasa supper aku akhirnya "order" juga roti canai.  Setiap kali emosiku tertekan kerana terpaksa makan roti canai sedangkan perut buncutku menelan air liur melihat laut pauk nasi kandar terbaring sambil melambaikan tangan ke arahku, aku tertanya-tanya dan bisik kepada perut buncitku:

Sedangkan aku yang tidak tergolong dalam kategori 40% terendah tidak mampu hidup dengan selesa dalam dunia 1Malaysia, apakah rakyat kategori 40% terendah dapat menjalani hidup dengan selasa sambil membaca dan memahami projek dan statistik yang cukup kompleks yang terkandung dalam laporan-laporan Kerajaan 1Malaysia?

Apakah statistik pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan isi rumah yang dikemukakan oleh Kerajaan 1Malaysia bermakna kepada sebahagian besar rakyat dunia 1Malaysia yang turut terhimpit kesusahan bila harga barangan keperluan harian naik sementara kerajaan melalui PETRONAS menyediakan subsidi buat Janakuasa Bebas dan industri lainnya sejumlah RM19 billion setiap tahun?

Kepada kelompok UMNO-putra dan kroni mereka (tanpa mengira kaum) yang menelan air liur melihat pengumuman projek-projek besar oleh pemimpin 1Malaysia, ETP (Program Transformasi Ekonomi), NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) dan NEM (Model Ekonomi Baru) kononnya melambangkan reform.

Kepada PEMANDU, laporan-laporan Kerajaan 1Malaysia melambangkan bayaran RM66 juta kepada si penasihat yang antara kerja mereka adalah membantu menubuhkan PEMANDU dan RM65 juta pula buat keseluruhan operasi PEMANDU untuk tahun 2010.

Tetapi kepada rakyat kategori 40% terendah dan sebahagian besar rakyat berperut buncit sepertiku, segala pengumuman tersebut tidak dapat mengubah nasib perut buncitku yang terpaksa menelan roti canai bercampur air liur setiap kali laut pauk nasi kandar melambaikan tangan ke arahku.

Keranamu Kerajaan 1Malaysia dan keranamu roti canai, perut buncitku terus membuncit.  Sedangkan aku yang tidak tergolong dalam kategori 40% terendah mengalami tekanan hidup yang besar, bagaimana pula dengan kategori isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan!

Dalam hal ini, Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) Tan Sri Rozali Ismail yang berpendapatan RM5.1 juta setahun atau RM425,000 sebulan pasti mempunyai pandangan yang berlainan.  Keranamu Kerajaan 1Malaysia dan keranamu SYABAS, Kerajaan Pakatan Rakyat dan rakyat Selangor terpaksa berhadapan dengan tindakan keras polis ketika menyertai perhimpunan perarakan menyerahkan memorandum dan petisyen 'Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat' kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengelakkan kenaikan harga air.

Setelah beberapa kali kerajaan yang menafikan kononnya tidak mendapatkan khidmat nasihat APCO mengemukakan laporan demi laporan yang tebal dan "sophisticated" dari segi analisis masalah berserta dengan projek yang mengenyangkan kelompok kroni, umum makin dikelirukan dengan program yang akan dijadikan dasar atau dilaksanakan bercampur-aduk dengan program kosmetik untuk mengaburi mata rakyat yang berperut buncit dan yang tidak berperut buncit.

Pelbagai syak-wasangka timbul dalam kalangan khalayak umum.  Aku pula sudah tak terlarat mahu menanyakan "Perdana Menteri kosmetik": Apakah keranamu 1Malaysia yang bersifat kosmetik, pendapatan isi rumah kategori 40% terendah terus meningkat "as it is"?


Penulis ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

No comments:

Post a Comment