RSS

Wednesday, December 8, 2010

Mengapa Semangat Mudah Hilang?

Apabila kita menghadiri satu-satu perhimpunan, tidak kira sama ada perhimpunan politik, malam anugerah syarikat jualan langsung mahupun majlis pelancaran sesebuah produk, ramainya kehadiran para pesertanya sudah cukup menguja hati dan minda. Pakaian mereka yang seragam ataupun sefesyen akan menjadikan kita berasa bahawa para pesertanya sudah sependapat dari segi zahir.
Hiasan pentas dengan tulisan besar, yang mempamerkan tujuan perhimpunan itu, logo persatuan yang terpampang serta foto gergasi ketuanya yang tampak hebat kerana saiznya, akan menjadikan kita turut berasa gah.
Tata cahaya yang menyentuh kaca candelier lalu menjadikan ia berkilau seperti berlian, kain satin berwarna-warni yang beralun-alun seperti ombak di langit dewan, hiasan sepanduk yang berjurai-jurai di tiang-tiang seri dewan perhimpunan serta belon-belon yang tergeleng-geleng ditiup angin penghawa dingin akan membuat kita terpegun penuh kekaguman.
Dan, apabila majlis bermula dengan lagu pertubuhan, lagu syarikat atau lagu tema yang dinyanyikan beramai-ramai hingga dewan bergema, ia pasti akan menggetar perasaan. Apabila tokoh utamanya bercakap, berucap dan berpidato, tumpuan semua mata akan ke wajahnya di layar besar. Kesemuanya akan terpaku kaku memerhati ekspresi wajah dan gerak bibirnya.
Ketika tokoh itu bersyarah, tepukan akan mengiringi, gelak tawa akan menghiasi dan pendengar yang terjal dan berani akan menyampuk untuk menghidupkan komunikasi dua hala. Akhirnya, bila tokoh utama bertempik, para hadirin akan terjerit, bila tokoh utama melaung, para hadirin akan menyahut dengan suara yang menggaung. Ketika itu, bulu tengkuk sudah berdiri dan jantung telah berdegup kencang. Semangat kian membara dalam gegak gempita suasana.
Namun, sebaik sahaja acara selesai dan para hadirin berbondong-bondong ke dewan bankuet, kehangatan perasaan sebahagian besar daripada mereka tiba-tiba mendingin! Fikiran sudah teralih daripada ingatan terhadap kata-kata semangat yang dilontar tokoh kepada juadah apakah yang sudah terhidang. Tajuk perbualan sudah tidak lagi mengenai apakah pesanan dan amanat si tokoh, tetapi perbualan basa basi yang sudah basi seperti 'apa khabar,' 'kerja di mana,' 'baju you cantik,' yang diselangi dengan ha-ha-ha yang tak berkesudahan.

Semangat Yang Hilang
Di mana perginya semangat yang membara hingga hendak terbakar seketika tadi? Mengapa fikiran dan pertuturan sebahagian besar daripada mereka boleh berputar 180 darjah, sama seperti sebelum memasuki dewan perhimpunan? Apakah yang telah terjadi? Andainya suara si tokoh boleh dilihat, agaknya kita boleh nampak bagaimana suaranya itu menerobos telinga kanan dan keluar melalui telinga kiri sebahagian besar para hadirin. Ya, semangat sebahagian besar daripada para hadirin sudah terbang menghilang.
Apakah itu semangat kalau ia bukannya perasaan kuat mengingini sesuatu? Justeru, jeritan dan laungan yang bertukar menjadi kebisuan sebaik sahaja majlis tamat itu menandakan semangat yang dizahirkan itu bukan semangat sebenarnya. Sekali pandang, kesemua yang hadir melontarkan suara lantang dengan tangan tergenggam ke udara, seolah-olah sudah menuturkannya penuh semangat.

Semangat Palsu
Padahal, apa yang sebilangan daripada mereka zahirkan adalah semangat yang dibuat-buat. Yang dipertontonkan kepada orang lain supaya jangan tidak orang lain melihat dia tidak bersemangat. Ada juga yang melahirkan semangat kerana terikut-ikut dengan keadaan. Bulu romanya juga berdiri, suaranya pun bergetar, tetapi pada ketika itu sahaja. Pekikannya dilakukan kerana kesan 'mob psychology' atau terpengaruh dengan suara dan aksi ramai.
Lazimnya sebilangan besar daripada mereka yang menghadiri sesebuah perhimpunan itu menzahirkan semangat yang dibuat-buat atau bersemangat kerana terikut-ikut. Biarpun ia semangat plastik, namun jumlahnya yang ramai itu memberi kesan terhadap pandangan ramai terhadap kumpulan itu.
Kerana itulah, kini banyak pertubuhan amat memerlukan golongan ini. Parti-parti politik menggunakan golongan pengikut sebagai tukang sorak pada setiap ceramahnya. Mereka berpindah-randah mengikut penceramah untuk menghidupkan suasana agar kehebatan tokoh parti politik itu menyerlah.
Syarikat-syarikat jualan langsung juga ada ahli-ahli baru yang masih mempunyai impian kejayaan yang masih segar. Merekalah yang meriuhkan majlis hingga menarik mereka yang belum ahli menyertai skim jualan langsung itu. Malah, syarikat-syarikat persembahan menggunakan penonton yang dipanggil 'fanatic' untuk berdiri berhampiran dengan pentas persembahan artis dan membuat riuh agar semangat konsert tumpah kepada penonton yang lain untuk menari dan bertepuk sama.
Ya, semangat yang sekejap-sekejap, yang lahir di bibir dan yang datang daripada luar tidak akan kekal lama. Yang teguh, yang ampuh adalah semangat yang mengalir di dalam pembuluh darah. Ia meresap ke dalam jantung dan bersarang di minda. Namun, semangat yang datang daripada dalam diri seseorang itu tidak mudah diperoleh.
 
Semangat Utuh Hasil Kesedaran Dan Penghayatan Sejarah
Ia perlu dihayati dan dijiwai kerana semangat atau perasaan yang kuat berkehendakkan sesuatu itu menjelma hasil kesedaran bila seseorang itu bertafakkur dan bermuhasabah. Tidak kira sama ada semangat memperoleh kejayaan dunia mahupun kejayaan akhirat, semangat akan bersemarak di dalam jiwa setelah seseorang memahami sejarah diri mahupun kelompoknya.
Semangat akan datang bila seseorang memandang ke belakang atau menghayati sejarah. Sejarah itu pula amat penting kerana ia berkait rapat dengan 'reflective thinking,' atau tadabbur. Berfikir dan merenung dengan tenang. Kerana itu, andainya kita asyik memandang ke hadapan atau berwawasan, semangat tidak akan diperoleh.
Oleh kerana kita asyik memikirkan masa depan ataupun berwawasan, sebab itulah kita hanya teruja untuk bertempik. Bila kita berhenti menjerit, tiada semangat yang bertakung di dalam dada. Inilah yang terjadi kepada sebilangan besar daripada kita. Ada inspirasi, ada motivasi tetapi tidak reti menyimpan semangat kerana tidak kenal sejarah.

No comments:

Post a Comment