RSS

Tuesday, December 7, 2010

Serangan Najib Terhadap Pakatan Rakyat Bayangkan Rasa Cemas, Terdesak

KUALA LUMPUR 6 Dis - Ketua Oposisi Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyerang Pakatan Rakyat dalam ucapan di konvensyen Barisan Nasional semalam mencerminkan keadaan beliau yang cemas dan terdesak.

Malah kata Anwar serangan khusus ke atas Parti Keadilan Rakyat memperlihatkan Najib sebagai Pengerusi BN tidak lagi mampu mengekang kemaraan parti itu justeru terpaksa mengambil pendekatan yang keras bagi mengalihkan pandangan terhadap kepincangan yang berlaku di dalam BN sendiri.

Dalam ucapan dasarnya Najib mendakwa Pakatan Rakyat sebagai pakatan nepotisme dan anti-nasional.

"Ucapan serangan Najib keras dan melambangkan sikapnya yang terdesak dengan perkembangan politik sekarang, nak alih isu kepincangan dalam pentadbiran dan rasuah dalam BN sendiri. Ini nampak lain dari 'style' Najib yang biasa.

"Maknanya ini pelancaran perang untuk menghadapi pilihan raya," jelas Anwar berhubung tafsiran ucapan Najib tersebut dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ketua Umum KEADILAN juga menyanggah isu keluarga yang dibangkitkan oleh Najib sambil berkata perkara tersebut tidak relevan dan seharusnyanya Perdana Menteri mencerminkan dirinya sebelum menuding jari kepada pihak lain.

"Beberapa isu beliau bangkitkan begitu aneh seperti isu keluarga dalam parti dan sebagainya, datangnya dari seorang yang naik atas kapasiti ayahnya Perdana Menteri, lantik sepupu sebagai Menteri Dalam Negeri dan masih membangkitkan isu peribadi," kata Ahli Parlimen Permatang itu merujuk kepada ayah Najib, Tun Abdul Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang merupakan sepupunya.

Berhubung dakwaan Presiden Umno itu yang menuduh  Pakatan Rakyat sebagai anti- nasional, Anwar berkata gagasan itu berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Saya nak tumpu tentang Pakatan ini, beliau memberikan gambaran seolah-olah Pakatan Rakyat mengalami perpecahan. Isu apa? Anti-nasional isu apa? Kita berpegang pada Perlembagaan. Adakah menentang rasuah itu anti-nasional? Cara melayani tunjuk perasaan aman rakyat menuntut hak mereka itu juga anti-nasional?" sanggah beliau.

Anwar mencabar Najib berhujah secara bersemuka bagi menjawab dakwaannya sekiranya beliau seorang pemimpin yang bertanggungjawab.

"Kalau benar beliau pemimpin bertanggungjawab, beliau tidak harus mengeluarkan kenyataan tak bertangugjawab dan harus beri ruang kepada pembangkang untuk menjawab. Ini seorang Menteri bercakap di hadapan ahlinya, tak beri ruang untuk kita menjawab. Ini membelakangkan semangat demokrasi dan perbahasan segar," tegas beliau lagi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang juga hadir pada sidang media itu berterima kasih kepada Najib kerana menyampaikan mesej jelas kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat adalah gabungan masa depan.

"Saya ucap tahniahlah kepada Najib kerana tak dapat sembunyikan rasa cemasnya. Terima kasih juga kepada beliau kerana serangan beliau itu memberikan mesej jelas kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat merupakan gabungan masa depan bagi rakyat Malaysia," kata  Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula mengulangi isu kehilangan RM52 bilion saham Bumiputera dan meminta satu suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk membuktikan keihklasan BN.

"Kalau Perdana Menteri serius menangani rasuah kita harap beliau boleh adakan suruhanjaya siasatan diraja ke atas skandal saham bumi sebanyak RM52 bilion yang telah dilesapkan kerana sungguhpun RM52 bilion saham yang seharunya diberikan kepada golongan Melayu ataupun Bumiputera miskin sudah hilang, tiada sebarang tindakan diambil.

"Kenapa tak ada sebarang tindakan BN terhadap skandal ini? Jelas mereka hanya nak kekalkan kekayaan kroni mereka," tegas Ahli Parlimen Bagan tersebut.

Oleh Suara Keadilan  
http://suara-keadilan.com

No comments:

Post a Comment