Oleh Suara Keadilan |
Saya kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan baru-baru ini yang memperlekehkan peranan guru sebagai pembina negara. Beliau menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap orang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis. Pakatan Rakyat telah meneliti kesan kewangan dari pelaksanaan ini. Kita mengambil kira bahawa terdapat 537,221 jawatan di dalam perkhidmatan pendidikan termasuklah pengurusan kementerian (24,153), dasar dan pembangunan pendidikan (4,059), operasi pendidikan (498,399) dan pembangunan profesionalisme keguruan (10,610). Usaha menaiktaraf mutu pendidikan negara bermula dengan reformasi pendidikan dari pihak atas (penggubalan dasar, pembangunan keguruan) sehinggalah ke tahap pengajaran di bilik darjah (keberkesanan pembelajaran dan pengajaran). Oleh itu, Pakatan Rakyat berhasrat untuk memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 kepada semua pegawai dan guru yang bertanggungjawab di dalam sistem pendidikan kita. Ini akan menelan belanja RM3.2 bilion setahun. Jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran-pembaziran lain yang kini berleluasa di bawah UMNO/Barisan Nasional. Kos perbelanjaan semua lawatan Perdana Menteri ke luar negara setakat ini sebanyak RM8.7 juta boleh menanggung imbuhan bagi 1,450 orang guru. Bayaran kepada APCO sebanyak RM77 juta bagi tahun 2009 boleh menampung imbuhan bagi 12,800 orang guru iaitu keseluruhan tenaga kerja yang membangunkan profesionalisme keguruan. Pembaziran UMNO/Barisan Nasional sebanyak RM131 juta bagi menampung perbelanjaan perunding dan kos operasi PEMANDU bagi tahun 2010 boleh membayar imbuhan bagi 21,833 lagi orang guru, iaitu hampir keseluruhan tenaga kerja kementerian. Ini belum lagi pembaziran-pembaziran mega seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun. Justeru, persoalan sama ada negara mampu membayar imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap bulan ini tidak timbul. Perkara yang sebenar adalah keikhlasan UMNO/Barisan Nasional untuk mengangkat martabat pendidikan di negara ini. Hakikatnya, bidang pendidikan tidaklah berada di dalam senarai kepentingan UMNO/Barisan Nasional. Isu kualiti pendidikan telah ditimbulkan sejak sedekad yang lalu, tetapi sehingga kini tidak ada satu langkah konkrit untuk mengiktiraf sumbangan guru di samping memastikan kerjaya perguruan menarik minat calon-calon yang berkualiti tinggi. Langkah Pakatan Rakyat memperkenalkan imbuhan ini adalah langkah pertama ke arah memartabatkan kerjaya perguruan setaraf dengan kerjaya profesional lain seperti jurutera, doktor dan akauntan. Semalam, akhbar-akhbar melaporkan persetujuan Perdana Menteri untuk menubuhkan satu badan perundingan khas untuk menyelesaikan isu-isu perkhidmatan perguruan. Perkara ini telah disyorkan CUEPACS sejak tahun 2002 lagi – tetapi hanya selepas Pakatan Rakyat membuat cadangan yang konkrit untuk menaikkan martabat perguruan, UMNO/Barisan Nasional memberikan reaksi cemas. Baru sekarang, Perdana Menteri mahu mendengar keluh kesah guru-guru yang bergelumang dengan pelbagai masalah setiap hari. Ini bukanlah caranya kita merancang kebijakan pendidikan negara. Tanggungjawab menjaga kebajikan guru-guru bukanlah satu reaksi yang hanya ada tindakan apabila Pakatan Rakyat bersuara. Pakatan Rakyat percaya bahawa tindakan utama yang perlu diambil untuk memulihkan kualiti pendidikan negara adalah dengan menjaga kebajikan guru secara berterusan dan bertanggungjawab. Oleh itu, jumlah RM3.2 bilion setiap tahun bukanlah jumlah yang terlalu besar demi masa depan anak-anak Malaysia. DATUK SERI ANWAR IBRAHIM KETUA PEMBANGKANG PARLIMEN MALAYSIA |
Friday, December 24, 2010
Program 100 Hari Pakatan Rakyat Mampu Bela, Angkat Martabat Golongan Pendidik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment