Mengubah persepsi manusia bukanlah mudah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah lama berpegang pada sesuatu adat sehinggakan terlalu sulit untuk mengubahnya berlandaskan syariat.
Mendidik manusia tidak semudah membawa seekor lembu untuk meragut rumput di padang
Pendidikan berasaskan Islam perlulah diterap bermula dari kecil supaya tidak berlaku kejanggalan yang tidak bertempat apabila syariat diutamakan berbanding dengan budaya turun temurun.
Isu ini seringkali berlaku terutama sekali dalam konteks pencarian jodoh.
Masyarakat kita sering memandang serong kepada wanita yang melamar lelaki sehinggakan terbit peribahasa Melayu yang berbunyi perigi mencari timba yang dicipta khusus untuk wanita yang melamar lelaki.
Golongan "perigi mencari timba" ini seolah-olah dipandang keji dan dianggap seperti telah melakukan kesilapan besar semata-mata kerana adat tanpa melihat dari sudut syariat Islam.
Seolah-olah syariat diketepikan dan adat diutamakan.
Inilah budaya yang merantai pemikiran kita, sehinggakan pelbagai persoalan timbul apabila terdapat pihak yang cuba mengubah persepsi masyarakat. Pelbagai pertanyaan bergelodak di benak apabila persoalan ini diperjelaskan.
"Biar betul ustaz, tak kan perempuan yang datang melamar lelaki."
"Eh, malulah macam ni ustaz."
"Boleh ke buat seperti itu. Nanti apa kata orang."
Saya tidak risau bagi mereka yang ada rupa, digilai oleh ramai lelaki, tapi bagaimana pula mereka yang sekadar cukup-cukup makan, atau bujang terlajak (andalusia).
Tidakkah dianggap 'sial' atau aib oleh masyarakat.
Sudah pasti aib itu bukan sahaja disandang oleh andalusia sebagai individu, tetapi tempiasnya juga terkena kepada keluarganya.
Inilah penghalang utama dan satu-satunya 'musibah' bagi wanita yang hendak melamar lelaki.
Saya pernah menerima banyak persoalan berkaitan jodoh terutama daripada golongan wanita berumur yang masih belum berkahwin.
Kadang-kadang saya melihat salah satu masalah kita ialah sikap, walhal melihat pada kemampuan, kedudukan serta pendapatan boleh sahaja memiliki atau lebih senang bisa 'memancing' lelaki tetapi masih sukar untuk mendapat pasangan.
Sikap kita pada suatu ketika dahulu yang mungkin agak memilih, mahu cari yang sepadan atau lebih daripada diri.
Mana ada kelas seorang doktor kahwin dengan ustaz, mana padan seorang business women berjaya nikah dengan tukang kebun.
Maka kalian telah membawa fitnah kepada agama.
Tidak kurang juga di kalangan ahli gerakan, mencari pasangan antara ahli gerakan, tidak boleh berbeza fikrah atau bukan daripada satu jamaah yang sama.
Maka menunggulah dengan penuh hiba si wanita dalam gerakan tadi jejaka idaman satu jamaah datang menyunting.
Kalau ahli gerakan itu berjuta-juta mungkin tiada masalah, tapi kalau sekerat janganlah berani bermimpi di siang hari.
Maafkan saya, mungkin sedikit agresif (panas), cuma saya ingin ubah sedikit persepsi kita kerana syarat sah kahwin dan rukunnya tidak pernah menyebut perkara yang dirumitkan tadi.
PERSEPSI
Mengapa untuk sebuah kebaikan dan kemaslahatan hidup dapat dikalahkan oleh persepsi yang kolot ini?
Persoalannya kembali kepada sikap individu tersebut, apakah dia lebih mengutamakan persepsi atau kebahagiaan hidup yang sejati?
Kita meraih syurga cinta Allah melalui pasangan, bukan kerana fikrah kita sama atau sebagainya. Kebahagiaan adalah dambaan sebuah rumahtangga.
Apakah kita terasa jijik apabila mengetahui Saidatina Khadijah yang datang melamar Baginda s.a.w, hanyalah seorang anak yatim piatu, tiada siapa dan apa-apa di sisi.
Sedangkan kedudukan Khadijah di sisi masyarakat adalah seorang yang berkedudukan, hartawan, ahli perniagaan berjaya, dan dihormati oleh kaum Quraisy.
Beliau menepis persepsi tidak sihat demi mempersunting lelaki yang di matanya terdapat tanda-tanda kemuliaan dan kematangan peribadi. Nafisah binti Munabih menjadi saksi bukti cinta Khadijah kepada insan al-Amin ini.
Siapa kita kalau hendak dibandingkan dengan Khadijah?
"Saya teramat sedih ustaz. Kami dah bertunang, memang dah nak kahwin tetapi tiba-tiba putus di tengah jalan," rintih seorang wanita mengenang nasib malangnya.
Malah lebih parah lagi masalah bertunang dan kemudian terputus sebelum diijab-qabulkan ini berlaku berulang kali dan kesannya menimbulkan ketakutan kepada mereka untuk terus mencuba lagi.
Bak kata pepatah, luka di tangan nampak darahnya, luka di hati siapakah yang tahu betapa parahnya ia.
Para ulama' bersetuju bahawa jodoh ialah salah satu qada' ketentuan Allah Taala seperti rezeki dan ajal seseorang hamba.
Semuanya itu termaktub sejak azali lagi.
Namun kita tidak boleh berserah bulat-bulat hingga terkulat, apabila sampai suatu masa kita telah berputus asa dan mengatakan ini adalah takdir Ilahi. Apakah kita tahu itu ialah takdir Ilahi?
Maka sebab kita tidak tahulah kita masih mempunyai satu lagi talian hayat, iaitu ikhtiar.
IKHTIAR, USAHA
Manusia diberi hak seluas-luasnya untuk berusaha dan terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa.
Kita teringin makan sesuatu yang enak, tapi bolehkah ia hadir tanpa kita berusaha seperti gigih bekerja untuk mencari duit yang halal sebelum memiliki makanan yang enak tadi.
Maka usaha itulah yang akan menjadi penentu pada ketentuan takdir Ilahi.
Kalau tidak, kalian tidak ubah seperti Mat Jenin di era moden.
Tidak menjadi kesalahan apabila melihat pada kemaslahatan perempuan memulakan dahulu, soal jodoh selagi mana ia tidak menyalahi syara' maka dihalalkan dalam Islam, bahkan amat digalakkan.
Hendaklah difahami sejelasnya, Islam tidak pernah meletakkan bebanan ke atas bahu lelaki sahaja untuk memulakan terlebih dahulu dalam persoalan mencari jodoh.
Buang jauh-jauh persepsi dangkal terhadap peribahasa Melayu; "perigi mencari timba" atau "langkah bendul", dalam Islam ia masih terjaga dan tidak mengaibkan.
BERUSAHA MENCARI KEBAIKAN DAN REDHA ALLAH
Pernah suatu ketika, telah datang kepada Rasulullah s.a.w seorang wanita arab menyatakan hasrat secara terus terang tanpa perantaraan untuk bersuamikan Rasulullah s.a.w.
Tapi baginda s.a.w menolak dengan cara baik dan Baginda s.a.w sendiri yang tolong mencarikan suami buat wanita itu dari kalangan para sahabatnya dan mereka kemudian hidup dalam rumahtangga yang bahagia.
Bagaimanapun haruslah diingatkan bahawa, wanita yang ingin menggunakan kaedah ini untuk mendekatkan jodohnya perlu menyedari hakikat sopan santun dan tidak melampaui batas hukum syara' yang menjadi benteng terpelihara.
Mereka perlu berwaspada agar tindakan itu tidak menjejaskan maruah dan harga diri di mata masyarakat kita yang berpegang kepada nilai-nilai agama dan adat.
Tujuannya mesti jujur dan hendaklah mendekati lelaki dengan niat yang benar-benar untuk dibuat suami.
Tidak perlulah bercinta dulu, atau mahu mengenal hati budi masing-masing. Apabila sudah serasi, aturlah masjlis perkahwinan secepat mungkin.
BERDOA
Jangan lupa juga untuk bekalkan doa bagi menguatkan usaha kita tadi.
Doa adalah senjata orang mukmin. Mendekatkan jodoh dengan doa adalah amalan para solifus soleh.
Biarlah malu kita bersalut iman dan bertempat.
Wanita mudah mendapat fitnah ketika bujang berbanding apabila telah berumahtangga, mencari sesuatu kebaikan amat dianjurkan dalam Islam.
Jangan salahkan takdir andai kita sendiri silap membuat perhitungan.
Kalian masih diberi peluang untuk membuat pilihan.
Andai kita mahu ke arah kebaikan dengan usaha yang gigih, maka kalian akan merasai kesan sampingannya yang sementara seperti penat dan hampir berputus asa, tetapi ia hanyalah seketika.
Imbuhannya kalian akan mendapat kebaikan yang abadi. InsyaAllah, yang penting berusaha dan kemudian bertawakkal.
Allahua'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment