RSS

Sunday, December 5, 2010

Memiliki Qalbun Salim (Hati Yang Sejahtera)

Umum mengetahui bahawa hati merupakan penentu tindakan seseorang sama ada bertindak secara rasional atau tidak.Dalam ayat yang mudah sama ada segala tindakan yang dilakukan itu merupakan satu tindakan yang menjurus ke jalan yang diredhai Allah atau sebaliknya. Hati juga adalah raja dalam kerajaan diri.
Tanyalah diri kita, adakah segala kebaikan yang dilakukan selama ini dikuasai oleh hati yang mengikut telunjuk syaitan atau pun hati yang benar-benar ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah. Betapa sukarnya mendidik hati yang sentiasa menjadi rebutan antara malaikat dan syaitan ini.
Itulah peperangan yang perlu dilalui oleh setiap mukmin bagi mendapatkan qalbun salim. Sudah pasti setiap mukmin tidak mahu menyimpan hati yang sakit, hati yang dikuasai oleh sifat mazmumah serta begitu sedikit atau tipis sifat mahmudah yang bertandang dalam diri. Begitu juga dengan hati yang mati, hati yang tiada nur, hati yang penuh dengan titik-titik dosa atau noda yang pasti membuatkan manusia itu lupa atau lalai dengan tujuan hidupnya di dunia.
Bagaimana hendak mendapatkan hati yang dilimpahi nur-Nya yang dapat mengubah kehidupan manusia itu sendiri? Bagaimana hendak berdakwah sesama mukmin, begitu juga dengan ahli keluarga sendiri yang kadang-kala terlalu banyak dugaannya berbanding orang lain yang harus dijalani?
Pokok pangkalnya semuanya berpunca dari hati, hati yang cintakan sesama Islam, sesama saudara seagama, kaum keluarga, hati yang ingin mengubah diri, hati yang mencintai kebaikan. Tetapi mampukan kita istiqamah kerana terlalu besar peperangan dengan syaitan ini. Sama ada kita mampu melaluinya atau tidak, itulah kehidupan yang perlu dilalui dan dijalani.
Bagaimana hendak memperoleh hati yang sejahtera ini? Hati yang sejahtera dari syirik, syak, was-was, hati yang sejahtera dari bintik hitam dosa, hati yang sejahtera dari cinta kepada dunia serta hati yang sejahtera dari sifat mazmumah? Adakah hanya memadai dengan solat, dan membaca Al-Quran semata-mata?
Bagaimana pula dengan niat semasa mengerjakan ibadah tersebut? Adakah kerana inginkan pujian manusia? Atau adakah kerana sebab-sebab lain? Pokok pangkalnya bagi memperoleh hati yang sedemikian rupa adalah dengan keikhlasan yang amat tinggi dalam hati kita. Hanya dengan ikhlas melakukan ibadah dan amalan kebajikan dapat membentengi diri dan menjadi pendinding daripada hasutan syaitan.
Sabda Rasulullah SAW: Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah.
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta benda kamu, tetapi Allah memandang hati dan amal kamu". Peganglah hadis ini, semoga menjadi dorongan dan pedoman serta panduan kepada kita.
Bagaimana hendak membentuk hati yang sejahtera? Semoga Allah memberi kita kelapangan masa dan peluang bagi mempelajari ilmu berkaitan hati. Muhasabahlah diri kita, jangan memandang hina kepada sesiapa pun walau kepada manusia yang berperangai buruk sekalipun.
Aturlah masa sebaik-baiknya kerana;
Demi masa:Sesungguhnya manusia itu sentiasa berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.Surah Al-Ashr.
Jagalah makan dan minum kita dari makan yang haram dan syubhat. Di sekeliling kita, manusia terlalu terdedah dengan makanan-makanan segera. Marilah sama-sama kita mengimarahkan masjid,beristighfar dan bertaubat, memelihara diri daripada dosa, membuang sifat mazmumah, berjihad melawan nafsu,menyuburkan amalan soleh, bersahabat dengan orang soleh, istiqamahkan zikir dan Al-Quran, sentiasa mengingati mati dan paling utama berdoa kerana doa itu senjata mukmin.
Akhir kata, berusahalah kita mendapatkan nur yang gemilang bagi hati. Semoga kita tergolong dalam manusia yang dipilih oleh Allah ke jalanNya. Marilah kita bersama-sama istiqamah dalam segala amalan kita, meskipun kita mendapat cacian orang sekeliling kerana sesungguhnya amalan yang ikhlas pasti dapat membantu kita mendapatkan qalbun salim.

No comments:

Post a Comment