Ini bukan lagi isu terpencil!
"Saya dan dia sudah kenal lama... kami mahu berkahwin tetapi keluarga pihak lelaki tidak bersetuju. Dan sekarang kami sudah terlanjur dan ingin bertaubat."
"Kami sudah bertunang... dia sebenarnya seorang lelaki yang baik. Tetapi akhirnya kami tewas dengan desakan nafsu masing-masing."
"Pada awal jumpa dengan saya dia seorang lelaki yang baik dan hormati saya. Pertemuan kami yang pertama di Shopping Mall. Selepas dua tiga kali bertemu kami tidak melakukan hal terlarang melainkan hanya berpegangan tangan. Selepas itu, dia minta lebih. Awalnya saya bertegas, tetapi layu dalam pujukan dia."
Itu komen-komen di blog seorang ustaz. Dan sekarang pula cerita di akhbar tabloid negara.Seorang mangsa, Rozie, 20, dari Ampang tidak menyangka perkenalan dengan seorang jejaka melalui laman sosial Facebook bakal menjadi titik hitam dalam hidupnya. Katanya, menerusi laman sosial itu, Boy dilihat seolah-olah tidak mempunyai ramai rakan perempuan berikutan tiada kenalan wanita dalam senarai sahabatnya. "Ini menyebabkan saya menganggap Boy bukan kaki perempuan dan boleh dipercayai. "Kami bertemu buat kali pertama apabila dia mengajak saya ke majlis hari jadi rakannya," kata Rozie yang jatuh cinta dengan Boy yang bersopan-santun dan pandai menjaga hatinya."Di tempat kerja, saya kerap diganggu lelaki, tetapi Boy pula sering mengambil berat dengan menjaga saya daripada diganggu mereka," katanya yang bertugas sebagai pakar kecantikan di ibu kota. Akibat terlalu percayakan lelaki itu, Rozie mengandung hasil hubungan terlarang mereka selepas setahun menjalin cinta.
Itulah satu daripada ribuan cerita liku kehidupan masyarakat pada masa sekarang. Denga hanya internet penyambung hubungan. Allah, Rasul, keluarga dan maruh ditolak ke tepi. Semuanya atas nama cinta.Sungguh mereka tidak mengerti untuk membezakan apa itu CINTA dan apa itu NAFSU.
Kasih Rasul Terhadap Wanita
Dalam sejarah umat, insan yang paling kasih dan cinta kepada wanita ialah Rasulullah s.a.w. Tidak sedikit usaha, teguran dan tindakan yang dibuat dalam menterjemahkan perasaan cinta Baginda terhadap kaum hawa ini. Tetapi sering kali kita mengabaikan bahkan memperlekehkan nasihat Baginda.
"Islam ini kuno. Itu tak boleh, ini tak boleh. Tension tahu!"
"Mak ayah aku pun tak bising... yang kau bawa al-Quran dan hadis segala ini buat apa. Sikit-sikit Islam, nak cakap Islam pergi masjid la beb?"
Bagi yang mengatakan Islam yang Rasulullah s.a.w bawa itu kuno, mengongkong, dan segala nista, saya ingin mengajak kita sama-sama renung satu kisah sirah nabawi ketika Baginda menunaikan Haji Wida', haji yang terakhir Baginda. Baginda memberikan satu khutbah umum yang terakhir dalam hidupnya. Salah satu aspek yang Baginda sentuh adalah berkenaan kaum Hawa.
"Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina."
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina."
Skrip Berulang
Jika kita melihat senario di atas, modus operandi hingga terjadinya zina dan sama waktu dengannya adalah mudah dan berulang-ulang kisahnya.
01.Berkenalan.
02.Lelaki berlakon baik atau memang baik pada awalnya.
03.Perempuan terkesima dengan baik budi dan ayat si lelaki.
04.Keluar bersama untuk kali pertama dan lelaki itu kelihatan sungguh baik dan sopan.
05.Hubungan semakin rapat dan lelaki meminta berpegangan tangan.
06.Perempuan bertegas menolak, dipujuk dan dipujuk.
07.Akhirnya layu... dan pergilah ke babak yang seterusnya.
Mudah sahaja skrip cinta masyarakat sekarang. Dan skrip inilah yang membawa kecelakaan kepada masyarakat.
Menjadi tanda soal, haruskah hubungan lelaki dan wanita berakhir seperti ini? Adakah semudah itu untuk mencairkan hati seorang wanita. Cukup sekadar ayat power, muka kacak, dan belanja makan yang tidak seberapa. Dan siap untuk menyerah diri untuk disembelih sang lelaki. Kambing yang abah jual pun harga RM400 seekor, takkan belanja makan yang tidak sampai RM50 sudah layu.
Kelebihan lelaki ialah pandai memujuk dan berlakon, dan kelemahan wanita adalah mudah dipujuk rayu dan ditipu. Oleh sebab itu, Islam melihat isu hubungan lelaki dan wanita ini cukup penting untuk disentuh. kerana disini letak titik jatuh bangun ummah. Mahu lihat masa depan Islam, lihatlah pada pemuda-pemudinya. Jika pemuda-pemudinya kaki rempit, masa depan Islam "rempit" jugalah jawabnya.
Sunnah dalam Hubungan Lelaki dan Wanita
"Kenapa dia naik motor dengan perempuan tu? Ada apa-apa urusan mendesak ke sampai perlu macam itu?" saya bertanya kepada seorang rakan.
"Entah tak pasti pulak kenapa. Tapi ada orang bagi tahu mungkin salah satu cara dakwah kot," jawab dia bersahaja.
"Dakwah apa? Apa yang dia tahu dengan dakwah seperti itu? Mengangkat perempuan itu dari satu lubang neraka dengan meletakkan ke dalam lubang neraka yang lain. Kali ini dengan lelaki itu masuk lubang sekali. Dakwah itu luas, tetapi masih tidak berkompromi dengan bersalut kemaksiatan," saya menjawab. Mengaitkan tindakan itu dengan Islam dan dakwah pula.
Islam itu meraikan fitrah. Jika anda suka kepada perempuan, bersyukurlah kerana anda normal dan bukan gay. Jika si gadis tertawan dengan sang lelaki, itu juga normal dan tidaklah berdosa dalam Islam. Tetapi ada aturannya...
01.Ramai pasangan keluar berdua-duaan tidak kiralah sama ada pergi shopping, dating, atau ke masjid sekalipun. Ketahuilah itu dilarang sama sekali. Bagi yang sudah bertunang sekalipun aturannya tetap ketat. Keluar dibolehkan tetapi dengan syarat ditemani oleh mahram yang (1)tsiqah. Ada yang mengajak teman, sedangkan teman yang diajak itu merapu dan tidak tahu hukum-hakam.
02.Kurangkan komunikasi yang tidak berkenaan. Isi perbincangan seharusnya dikawal. Isi pun dikawal, gantiaan nama seperti ayang itik, abang, ucuk dan segala hal lagilah bersalahan dengan syarak.03.Tidak boleh bersentuhan sama sekali. Jadi diharap tiadalah dialog: "Saya dan dia cukup menjaga. Kami tidak melakukan larangan. Paling tidak pun hanya sekadar berpegangan tangan saja." Pegang tangan sahaja... hurm.
04.Elakkan fitnah daripaada masyarakat sekeliling. Mahu elakkan fitnah, jangan cipta fitnah. Jangan salahkan masyarakat mengata, sedangkan diri dengan pasangan kelakuan sumbang.
05.Berkaitan gambar. Melihat aurat sudah semestinya sudah salah. Sekarang trend menjadikan gambar pasangan sebagai wallpaper telefon bimbit, laptop bahkan menjadi primary picture di Facebook dan Friendster. Dua kali salah! Dilarang bertukar gambar tanpa sebab yang syarie'.
06.Jika semua ini kita tidak mampu lakukan dan penyelesaian pernikahan itu masih jauh perjalanannya. Putuskanlah hubungan itu dengan serta-merta. Pedih lagi sedih. Memang! Tetapi itulah mujahadah. Rintangan dihadapan lagi besar dan memerlukan lebih tinggi mujahadahnya berbanding putuskan hubungan itu. Percayalah, jika niat semua itu kerana Allah s.w.t., Dia akan gantikan duka lara hati dengan kegembiraan lebih besar daripada itu.
Keluarga MuslimSelepas melihat semakin rosaknya umat sekarang, bagi saya adalah satu keperluan untuk membina satu keluarga contoh.(2)Sakinah dan (3)mawaddah sudah menjadi kewajipan setiap insan yang mengaku beriman. Melahir dan mendidik generasi baru sebagai penyambung mata rantai perjuangan Baginda sudah menjadi tuntutan yang vital.
Kepada lelaki, hormatilah wanita seperti Baginda menghormati mereka. Kepada wanita, lebihkan menjadi daripada mencari dan kuatlah dalam berprinsip. Tetapi sebelum kita mahu bina keluarga Muslim lagi mukmin, mulakan dengan melihat dan memilih calon ibu kepada anak-anak kita. Dan lihat dan pilihlah calon bapa kepada anak-anak kita. Itu tapaknya, jika mahu kukuh bangunannya! Anda mencari, saya mendoakan...
No comments:
Post a Comment